Mustapha Sakmud
KOTA KINABALU: Pencapaian calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Sabah dan Sarawak disifatkan sebagai aset bernilai kepada negara susulan peningkatan ketara dalam prestasi keseluruhan kedua-dua negeri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, pencapaian itu amat membanggakan dan mencerminkan kemajuan positif dalam sektor pendidikan.
Beliau merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua calon SPM 2025 khususnya di Sabah dan Sarawak atas kejayaan yang dicapai.
Menurutnya, di Sabah, prestasi tahun ini menunjukkan lonjakan ketara dalam hampir semua indikator utama.
“Peningkatan Gred Purata Negeri (GPN) daripada 5.00 kepada 4.85 menandakan satu pencapaian penting apabila Sabah buat pertama kalinya berjaya keluar daripada julat GPN 5,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah beliau, peratus calon layak mendapat sijil turut meningkat kepada 95.60 peratus.
“Lebih membanggakan, seramai 605 pelajar berjaya memperoleh keputusan cemerlang semua A, manakala bilangan calon yang mencapai sekurang-kurangnya kepujian juga meningkat dengan ketara,” katanya.
Mustapha berkata, pencapaian itu bukan sahaja mencerminkan peningkatan dari segi kuantiti tetapi juga kualiti pendidikan.
“Jurang pencapaian antara bandar dan luar bandar turut berjaya dirapatkan,” katanya.
Mengulas mengenai Sarawak, beliau berkata, prestasi negeri itu turut menunjukkan perkembangan positif.
“Gred Purata Negeri mencatatkan 4.79, iaitu yang terbaik sejak tahun 2013,” katanya.
Menurutnya, seramai 853 calon di Sarawak berjaya memperoleh keputusan cemerlang semua A.
“Selain itu, sebanyak 27 buah sekolah berjaya mencapai kelulusan 100 peratus termasuk sekolah di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau berkata, pencapaian itu membuktikan akses kepada pendidikan berkualiti mampu melahirkan kecemerlangan melangkaui limitasi geografi.
Sehubungan itu, Mustapha menyarankan para lepasan SPM agar berani meneroka pelbagai laluan pendidikan dan kerjaya.
Katanya, selain laluan akademik tradisional, peluang dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), teknologi kecerdasan buatan (AI) serta industri semikonduktor kini menjadi antara sektor strategik negara.
“Seiring dengan isu konflik tenaga dunia, para lepasan juga digalakkan meneroka peluang dalam sektor tenaga baharu dan tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga solar, hidro dan teknologi hijau,” katanya.
Beliau berkata, Sabah dan Sarawak mempunyai potensi besar dalam sektor berkenaan dan generasi muda perlu bersedia menjadi tenaga mahir bagi memimpin transformasi tenaga negara ke arah masa depan lebih mampan.
“Bidang-bidang ini bukan sahaja menawarkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi, malah membuka ruang kepada anak Sabah dan Sarawak menjadi peneraju dalam ekonomi digital, industri berteknologi tinggi serta pembangunan lestari di peringkat global,” katanya.
Beliau menegaskan kepada semua calon bahawa keputusan SPM hanyalah permulaan dalam perjalanan hidup mereka.
“Teruskan melangkah dengan yakin, tingkatkan kemahiran dan rebut segala peluang yang ada demi masa depan yang lebih gemilang,” katanya.
































