KOTA KINABALU: Polis menahan lima lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes khianat dan ugutan jenayah yang tular di media sosial, membabitkan kejadian agresif terhadap sebuah kenderaan berhampiran lampu isyarat di Jesselton Quay, di sini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden Syed Lot Syed Ab. Rahman berkata, pihaknya mengesan video tular memaparkan sekumpulan individu bertindak agresif terhadap sebuah kenderaan dalam kejadian berkenaan.
Menurutnya, semakan mendapati satu laporan polis telah dibuat pada 28 Mac 2026 kira-kira jam 2.35 petang oleh seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang juga seorang guru.
“Pengadu memaklumkan kejadian berlaku sekitar jam 1.45 petang pada hari sama selepas beliau menghadiri satu majlis di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).
“Siasatan awal mendapati semasa menuju ke kenderaannya di kawasan parkir berhampiran gudang sebuah syarikat kurier di Pelabuhan Kota Kinabalu, pengadu telah berhadapan dengan beberapa individu yang dipercayai pekerja premis berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Syed berkata, berlaku provokasi lisan sebelum keadaan menjadi tegang sehingga pengadu bertindak mengundurkan kenderaannya dan secara tidak sengaja melanggar sebuah kenderaan lain.
“Susulan itu, beberapa individu dipercayai telah mengejar kenderaan pengadu dan bertindak agresif dengan memecahkan cermin bahagian pemandu serta cermin belakang kenderaan tersebut.
“Pengadu turut mendakwa telah diugut supaya keluar dari kenderaan ketika kejadian,” katanya.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat, polis menjalankan operasi segera dan berjaya menahan lima lelaki tempatan bagi membantu siasatan.
“Permohonan reman terhadap semua suspek akan dibuat bagi melengkapkan siasatan kes ini,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
“Polis memandang serius kejadian ini dan memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara telus serta adil.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.


































