Ahmad Farhan Rosli
KUALA LUMPUR: Majlis Belia Malaysia (MBM) menyatakan kebimbangan terhadap kesan ketegangan di Asia Barat terhadap ekonomi dan kestabilan tenaga negara, sambil menggesa pendekatan berasaskan solidariti nasional bagi menangani cabaran semasa.
Setiausaha Agung MBM, Ahmad Farhan Rosli berkata, pihaknya mengambil maklum keputusan Kerajaan menurunkan had BUDI95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebagai langkah sementara berdasarkan data penggunaan sebenar serta tekanan global.
Beliau berkata, MBM memahami keperluan Kerajaan untuk bertindak awal dalam situasi tidak menentu, namun menegaskan pelaksanaan subsidi perlu kekal adil, bersasar dan berjiwa rakyat.
“Dalam menghadapi tekanan global susulan krisis Asia Barat, pendekatan subsidi mesti memastikan kebajikan rakyat terus terpelihara tanpa menjejaskan keseimbangan fiskal negara,” katanya dalam satu kenyataan media.
Sehubungan itu, beliau berkata, MBM mengemukakan beberapa cadangan utama bagi memperkukuh daya tahan negara dalam mendepani krisis berkenaan.
Menurutnya, cadangan pertama ialah memperluaskan subsidi BUDI diesel serta melonggarkan syarat kepada pemilik kenderaan persendirian dengan kuota yang lebih munasabah, sekitar 300 liter sebulan.
Katanya, langkah itu penting bagi membantu rakyat yang terkesan secara langsung dengan peningkatan kos sara hidup dan ketidaktentuan harga bahan api.
“Cadangan kedua adalah menyemak semula serta mengurangkan elaun petrol bagi 222 Ahli Parlimen sebagai simbol kepimpinan melalui teladan dan solidariti nasional,” katanya.
Beliau berkata, langkah tersebut bukan sahaja mencerminkan kebertanggungjawaban kepimpinan, malah mampu meningkatkan keyakinan rakyat terhadap usaha penjimatan yang dilaksanakan kerajaan.
Dalam pada itu, Ahmad Farhan berkata, MBM turut mencadangkan agar usaha mempelbagaikan sumber tenaga negara dipercepatkan, termasuk meneroka bekalan alternatif di luar negara Teluk.
Katanya, pelaburan dalam tenaga boleh diperbaharui juga perlu diperkukuh bagi menjamin keselamatan tenaga jangka panjang negara.
“Ini penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga tradisional yang terdedah kepada ketidaktentuan geopolitik,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, MBM turut menggesa supaya satu sidang khas Parlimen diadakan dalam masa terdekat.
Menurutnya, sidang tersebut perlu memberi tumpuan kepada pendekatan bipartisan dalam merangka strategi komprehensif bagi menangani krisis tenaga.
“MBM percaya krisis ini menuntut kejujuran dasar, keberanian politik dan solidariti nasional demi melindungi rakyat serta menjamin kestabilan negara,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kerjasama semua pihak, termasuk kerajaan, pembangkang dan masyarakat sivil amat penting dalam memastikan negara mampu mengharungi cabaran global yang semakin kompleks.






























