Azrul Ibrahim
KOTA KINABALU: Kenyataan seorang senator Filipina yang menggesa tuntutan ke atas Sabah dihidupkan semula terus mengundang kecaman pelbagai pihak di negeri ini yang menyifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab serta mencabar kedaulatan negara.
Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dan pemimpin masyarakat tampil mengecam keras kenyataan berkenaan yang disifatkan sebagai provokasi terbuka serta bercanggah dengan prinsip undang-undang antarabangsa.
Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim berkata, kenyataan tersebut jelas tidak berasas dan hanya menimbulkan ketegangan yang tidak perlu.
Beliau menegaskan bahawa Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia yang berdaulat dan kedudukannya tidak boleh dipersoalkan oleh mana-mana pihak.
“Sebarang cubaan untuk menghidupkan semula tuntutan lapuk ini adalah tidak berasas dan hanya menimbulkan ketegangan yang tidak perlu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, cubaan mengaitkan Sabah dengan isu sumber minyak dan tenaga sebagai alasan untuk menghidupkan semula tuntutan itu juga tidak munasabah.
Katanya, tindakan tersebut dilihat sebagai cubaan mengalih perhatian daripada isu dalaman negara berkenaan.
“Sabah bukan komoditi untuk menyelesaikan masalah negara lain,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau menggesa Kementerian Luar agar mengemukakan bantahan rasmi terhadap kenyataan berkenaan, selain meminta Kerajaan Persekutuan terus memantau perkembangan isu itu.
Azrul turut menyeru rakyat Sabah agar kekal tenang, bersatu dan tidak terpengaruh dengan kenyataan luar yang boleh menimbulkan kekeliruan.

Jerry Ambuting Mohd. Said
Sementara itu, bekas Presiden Kehormat Persatuan Ahli-Ahli Kehormat Ikatan Relawan Malaysia (RELA) Sabah, Datuk Jerry Ambuting Mohd. Said turut mengutuk kenyataan sama yang disifatkan biadab dan mencabar kedaulatan Malaysia.
Beliau berkata, gesaan untuk menghidupkan semula tuntutan ke atas Sabah bukan sahaja tidak berasas, malah merupakan satu bentuk provokasi yang boleh menggugat keamanan serantau.
“Ini bukan sekadar kenyataan tidak masuk akal, tetapi satu penghinaan terhadap kedaulatan negara. Sabah bukan wilayah yang boleh dipersoalkan atau dijadikan bahan retorik politik murahan mana-mana pihak,” katanya.
Menurut Jerry, cadangan menghantar wakil rasmi atau pasukan ke Sabah sebagai simbol tuntutan adalah tindakan melampau yang tidak boleh diterima sama sekali oleh rakyat Malaysia, khususnya di Sabah.
“Jika benar ada usaha sedemikian, ia bukan sahaja melanggar norma diplomatik antarabangsa, malah boleh dianggap sebagai tindakan mencabar keselamatan dan kedaulatan negara,” tegasnya.
Beliau menegaskan bahawa Sabah telah menjadi sebahagian sah dalam Persekutuan Malaysia sejak 1963 melalui proses yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, termasuk melalui Suruhanjaya Cobbold.
Katanya, tiada ruang untuk mana-mana pihak menghidupkan semula tuntutan lapuk yang telah lama ditolak kerana sejarah dan undang-undang antarabangsa jelas memihak kepada Malaysia.
Dalam nada tegas, beliau turut menyifatkan alasan berasaskan kekayaan sumber sebagai hujah dangkal dan tidak beretika.
Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan Filipina di bawah pimpinan Presiden Ferdinand Marcos Jr. supaya mengambil pendirian jelas dan mengekang kenyataan tidak bertanggungjawab dalam kalangan pemimpin mereka.
“Kerajaan Filipina perlu bertindak tegas terhadap kenyataan seperti ini agar tidak menjejaskan hubungan dua hala yang telah lama terjalin,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa rakyat Sabah tidak akan berdiam diri terhadap sebarang cubaan mempertikaikan kedaulatan negeri itu.
“Sabah adalah milik Malaysia, titik. Kedaulatan ini akan dipertahankan habis-habisan oleh rakyat dan seluruh jentera keselamatan negara,” katanya.
Terdahulu, senator berkenaan mencetuskan kontroversi apabila menggesa presidennya menghidupkan semula tuntutan terhadap Sabah, termasuk mencadangkan penghantaran wakil sebagai simbol tindakan.
Untuk rekod, Sabah kekal sebagai wilayah berdaulat Malaysia sejak pembentukan negara pada 1963 dan kedudukannya tidak pernah berubah walaupun berdepan tuntutan luar.
































