Anwar (kiri), Hajiji (dua dari kiri), Masidi (dua dari kanan) dan Mustapha (kanan) menadah tangan mengaminkan bacaan doa selamat yang dipimpin Imam Besar Masjid Negeri Sabah Suhaidi Kuanting.
KOTA KINABALU : Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kota Kinabalu bagi mengadakan lawatan kerja sehari ke negeri ini, pada Ahad.
Pesawat khas yang membawa beliau mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) pada pukul 11.22 pagi.
Ketibaan beliau disambut oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun yang juga Menteri Kewangan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ts Mustapha Sakmud; Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Rubin Balang serta Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab.
Anwar dijadual menghadiri beberapa program utama termasuk Majlis Perasmian Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2026, Mini Konvensyen KEADILAN dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang (MATC) Peringkat Negeri Sabah.
Selain itu, beliau juga akan menyantuni masyarakat di Bazar Ramadan Universiti Apartment, Sepanggar sebelum menghadiri Majlis Berbuka Puasa bersama warga Universiti Malaysia Sabah (UMS) di Kompleks Dewan Kuliah Pusat Ke-2, UMS pada lewat petang.
Turut hadir menyambut ketibaan Perdana Menteri adalah ketua-ketua jabatan persekutuan dan negeri.
































