KUNDASANG: Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun menyempurnakan Majlis Berbuka Puasa sempena Ramadan bersama ahli jawatankuasa anjuran Parti Gagasan Rakyat Sabah Bahagian Karanaan, Kundasang dan Paginatan di Hotel Perkasa Kundasang, di sini, semalam.
Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh muhibah itu menghimpunkan pemimpin masyarakat serta ahli parti dari sekitar daerah Ranau bagi mengeratkan silaturahim sempena bulan Ramadan.
Turut hadir Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin serta Pegawai Daerah Ranau, Tinus Manggam bersama barisan pemimpin masyarakat setempat.
Program dimulakan dengan ketibaan para jemputan pada sebelah petang sebelum diteruskan dengan bacaan doa serta tazkirah Ramadan bagi menghayati kelebihan dan pengajaran bulan yang penuh keberkatan ini.
Pada majlis tersebut, Masidi yang juga Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah turut menyampaikan sumbangan kepada pelajar dari Sekolah Anak Yatim Kampung Silad serta Sekolah Pondok Bidayatul Hidayah Kampung Kundasang Lama.
Sumbangan berkenaan diharap dapat membantu meringankan beban para pelajar serta memberi semangat kepada mereka untuk terus menimba ilmu.
Majlis berbuka puasa menjadi acara kemuncak program sebelum diteruskan dengan solat Maghrib secara berjemaah.
Selepas itu, para hadirin turut menunaikan solat Isyak dan Tarawih secara berjemaah diikuti dengan jamuan moreh.
Program berkenaan dijangka berakhir sekitar jam 9 malam dengan para hadirin meluangkan masa beramah mesra dalam suasana penuh kekeluargaan.
Penganjuran majlis seumpama itu bukan sahaja mengeratkan hubungan antara pemimpin dan masyarakat, malah menjadi platform untuk memupuk semangat perpaduan serta kebersamaan dalam kalangan komuniti setempat.
































