Para peserta mengabadikan gambar kenangan.
TUARAN: Pertandingan dart yang dianjurkan oleh Persatuan Keturunan Keluarga Damit (KKD) mendapat sambutan menggalakkan apabila berjaya menghimpunkan lebih 100 peserta serta pengunjung dalam suasana penuh kemeriahan.
Yang Dipertua Persatuan Keturunan Keluarga Damit, Andrew Durat berkata, program seumpama ini merupakan satu inisiatif terbaik bagi mengeratkan silaturahim dalam kalangan ahli KKD serta masyarakat setempat yang hadir.
Beliau turut menghargai sokongan dan kerjasama semua pihak yang telah membantu menjayakan penganjuran program tersebut.
Menurutnya, penganjuran aktiviti komuniti seperti ini bukan sahaja menghidupkan suasana persatuan, malah memberi ruang kepada masyarakat untuk berinteraksi dan memperkukuhkan hubungan persaudaraan.
Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua KKD, Mark @ Haikal Jimmy Ngali merakamkan penghargaan kepada barisan Ahli Jawatankuasa penganjur yang telah bertungkus-lumus menjayakan pertandingan tersebut.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur yang diketuai oleh Timmie Jamleh dari La’ Darts Club atas komitmen dan usaha mereka dalam memastikan program berjalan dengan lancar.
Menurut Mark, kejohanan itu merupakan acara sukan dalaman pertama yang dianjurkan oleh KKD dan beliau berharap ia akan membuka ruang kepada lebih banyak program sukan pada masa akan datang.
Katanya, pada masa hadapan pihaknya merancang untuk menganjurkan kategori terbuka yang dijangka melibatkan lebih ramai pemain dari pelbagai daerah.
Dalam pertandingan tersebut, sebanyak dua kategori dipertandingkan iaitu Trio Tertutup dan Single Wanita.
Seramai 103 peserta mengambil bahagian dalam kejohanan berkenaan, dengan 87 orang bertanding dalam kategori Trio manakala 16 orang lagi dalam kategori Single Wanita.
Program tersebut diadakan sempena Tamu Mingguan KKD yang berlangsung setiap hari Sabtu dan turut mendapat sambutan daripada komuniti setempat.
Bagi hadiah pertandingan, johan membawa pulang wang tunai RM1,500 beserta piala pusingan, manakala naib johan menerima wang tunai RM1,000.
Tempat ketiga dan keempat masing-masing menerima wang tunai RM500, manakala pemenang tempat kelima hingga kelapan menerima wang tunai RM150 setiap seorang sebagai penghargaan atas penyertaan mereka.
Penganjuran pertandingan ini diharap dapat menjadi platform kepada pembangunan bakat serta menggalakkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti sukan yang sihat dan berfaedah.

































