Hajiji diiringi Pengerusi SEC Datuk Annuar Ayub (tiga dari kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif SEC Datuk Ir. Ts. Adzmir Abd. Rahman (dua dari kiri) melakukan gimik pelancaran projek solar itu.
TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, Kerajaan Negeri berhasrat untuk mengurangkan kebergantungan kepada sumber konvensional dan beralih ke arah sistem tenaga yang lebih pelbagai, mampan serta mesra alam.
Beliau berkata, perkara itu selaras dengan Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040), yang menjadi kompas strategik dalam merancang masa depan tenaga Sabah secara holistik.
“Melalui usaha memperluas penggunaan tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan hidro, kita bukan sahaja menyeimbangkan campuran tenaga negeri tetapi juga membina daya tahan kukuh dalam menghadapi cabaran global serta krisis iklim.
“Usaha ini merupakan pelaburan kita bagi memastikan Sabah kekal hijau dan makmur untuk beberapa dekad akan datang,” katanya ketika melancarkan projek solar berskala besar 15MW Tuaran serta majlis iftar Ramadan SEC di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama Sabah di Kampung Lok Batik di sini hari ini.
Ketua Menteri berkata, pelancaran projek Solar Berskala Besar 15MW di sini adalah bukti jelas sinergi antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC), khususnya Sabah Energy Corporation (SEC) dengan visi dasar kerajaan negeri.
Beliau memuji SEC atas projek solar kedua syarikat itu, selepas projek 5MW di Labuan, yang menunjukkan kredibiliti serta keupayaan teknikal dan komersial syarikat dalam menerajui sektor tenaga boleh diperbaharui.
“Projek solar ini bukan sahaja menambah 15 megawatt (MW) kepada sistem tenaga negeri, malah ia membawa makna yang lebih besar dalam transformasi struktur tenaga Sabah,” katanya.
Hajiji berkata, semasa fasa pembinaan, kira-kira 150 pekerja akan terlibat secara langsung termasuk pekerja tempatan.
“Ini adalah platform terbaik untuk bakat tempatan kita menimba pengalaman industri serta menguasai pemindahan kemahiran dalam teknologi tenaga boleh diperbaharui.
“Lebih penting lagi, apabila projek ini beroperasi sepenuhnya, ia dijangka mewujudkan 50 peluang pekerjaan baharu merangkumi operasi, penyelenggaraan, teknikal serta sokongan pentadbiran.
“Inisiatif ini bukan sahaja meningkatkan pendapatan isi rumah tetapi juga memperkukuh ekosistem tenaga hijau di Sabah. Inilah inti pati pembangunan di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0, yang bukan sekadar mengenai angka, tetapi pertumbuhan yang menjana peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran rakyat serta memberi manfaat ekonomi secara langsung kepada komuniti tempatan,” katanya.
Ketua Menteri berkata, projek ini memberi isyarat jelas bahawa Sabah komited untuk memperkukuh keselamatan tenaga negeri.
Beliau berkata, Sabah tidak boleh ketinggalan dalam gelombang perubahan ini dan mesti memastikan pembangunan ekonomi bergerak seiring dengan pemuliharaan alam sekitar demi kesejahteraan generasi akan datang.
“Kerajaan Negeri kekal teguh dalam memperkasa agenda pembangunan negeri di bawah kerangka SMJ 2.0, dan dalam usaha melaksanakan agenda besar ini, sektor tenaga merupakan tulang belakang yang paling kritikal,” katanya.
































