KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan membantah permohonan oleh Peguam Negara Persekutuan bagi mendapatkan penangguhan pelaksanaan perintah Mahkamah Tinggi berhubung hak Sabah menerima 40 peratus hasil bersih persekutuan yang diperoleh daripada negeri ini bagi tempoh 1974 hingga 2021, yang dikenali sebagai “Lost Years”.
Peguam Besar Negeri Sabah, Datuk Brenndon Keith Soh mengesahkan bahawa Jabatan Peguam Besar Negeri akan menentang permohonan penangguhan terhadap perintah Mahkamah Tinggi bertarikh 17 Oktober 2025.
Beliau berkata, perintah Mahkamah Tinggi itu mengarahkan Kerajaan Persekutuan mengadakan semakan bersama Kerajaan Negeri bagi melaksanakan pemberian geran khas 40 peratus dalam kerangka perlembagaan bagi tempoh “Lost Years”.
Perintah tersebut juga menetapkan supaya kedua-dua pihak mencapai persetujuan dalam tempoh masa yang ditetapkan selama 180 hari, iaitu sehingga 15 April 2026.
Soh berkata, sejak keputusan itu disampaikan, Kerajaan Negeri kekal komited untuk mematuhi kedua-dua aspek iaitu semangat dan kehendak keputusan Mahkamah Tinggi tersebut.
“Kerajaan Negeri secara konsisten telah mengambil bahagian dalam proses libat urus dengan pihak berkuasa persekutuan yang berkaitan dan beberapa mesyuarat serta perbincangan teknikal telah diadakan bagi memudahkan pertukaran maklumat, pengesahan data serta pertimbangan terhadap kaedah yang sesuai untuk menentukan jumlah geran khas 40 peratus itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri telah mendekati perbincangan tersebut secara konstruktif, telus dan dengan niat baik bagi mencapai penyelesaian yang adil serta boleh diterima bersama dalam tempoh masa yang ditetapkan oleh mahkamah.
“Dalam hal ini, Kerajaan Negeri juga telah mengemukakan cadangan dan rangka kerja bagi membantu kedua-dua pihak bergerak ke arah mencapai persetujuan,” katanya.
Soh menegaskan bahawa pendirian Kerajaan Negeri adalah jelas bahawa tiada sebarang kelewatan atau kekurangan kerjasama daripada pihak negeri dalam melaksanakan perintah Mahkamah Tinggi tersebut.
“Sebaliknya, Kerajaan Negeri telah mengambil langkah aktif dan berterusan bagi memastikan proses yang diarahkan oleh mahkamah itu berjalan secara teratur dan produktif,” katanya.
Beliau menambah bahawa Kerajaan Negeri kekal bersedia dan komited untuk terus berunding dengan Kerajaan Persekutuan secara konstruktif bagi mencapai keputusan yang dipersetujui bersama selaras dengan peruntukan perlembagaan berkaitan geran khas itu.
Soh turut menyatakan bahawa Perkara 112D(6) Perlembagaan Persekutuan menyediakan mekanisme perlembagaan yang jelas sekiranya kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan.
“Peruntukan ini memerlukan pelantikan seorang penilai bebas yang mana syor-syornya mengenai perkara tersebut adalah mengikat kepada kerajaan-kerajaan yang terlibat dan hendaklah dilaksanakan seolah-olah ia merupakan persetujuan antara kerajaan-kerajaan tersebut,” katanya.
Beliau berkata, jaminan perlembagaan itu memastikan proses semakan yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan tetap dapat diselesaikan secara teratur walaupun tanpa penyelesaian yang dipersetujui bersama.
“Sehubungan dengan perbincangan yang sedang berlangsung serta tempoh masa yang semakin hampir seperti yang ditetapkan oleh mahkamah, Kerajaan Negeri berpandangan bahawa kedua-dua pihak perlu terus memberi tumpuan dan mempergiat usaha bagi memenuhi terma perintah Mahkamah Tinggi serta bekerjasama ke arah mencapai penyelesaian yang adil dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.
Soh menambah bahawa Jabatan Peguam Besar Negeri akan terus mengambil langkah perundangan yang perlu bagi melindungi hak dan kepentingan Sabah, di samping menyokong proses yang selaras dengan kedaulatan undang-undang, prinsip perlembagaan serta kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.































