Masiung Banah
KOTA KINABALU: Tuntutan menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak tidak seharusnya dikaitkan dengan alasan perundangan untuk menolak cadangan tersebut, sebaliknya perlu dilihat berdasarkan semangat dan peruntukan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Masiung Banah berkata, prinsip itu bukan sekadar tuntutan politik, sebaliknya merupakan asas yang digariskan ketika pembentukan Malaysia antara Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.
Menurutnya, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi), Datuk Seri Azalina Othman Said menimbulkan polemik yang tidak sihat, lebih-lebih lagi ia dibuat menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
“Jawapan Azalina itu boleh menimbulkan ketegangan politik dan menggores hati rakyat Sabah dan Sarawak, seolah-olah beliau menentang cadangan penambahan kerusi Parlimen di kedua-dua negeri ini.
“Pandangan beliau juga dilihat bertentangan dengan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini menyatakan persetujuan secara prinsip untuk menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak.
“Isu yang ditimbulkan ini boleh mencetuskan luka lebih besar tentang cara kerajaan pusat melayani negeri di wilayah Borneo yang sepatutnya mempunyai autonomi politik sendiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda di Dewan Rakyat pada 3 Mac lalu, Azalina menjelaskan bahawa cadangan penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak perlu diteliti secara menyeluruh kerana ia membawa implikasi besar kepada negeri-negeri lain.
Bagaimanapun, Masiung berkata, jawapan tersebut dilihat seolah-olah tidak menghormati aspirasi rakyat di wilayah Borneo dan merendahkan usaha anggota Parlimen Sabah dan Sarawak yang sekian lama memperjuangkan isu berkenaan di Dewan Rakyat.
Menurut ADUN Kuamut itu, pada 16 November tahun lalu Perdana Menteri pada dasarnya telah menyatakan persetujuan terhadap cadangan penambahan kerusi Parlimen di kedua-dua negeri tersebut.
Beliau turut mempersoalkan mengapa Azalina dilihat menolak cadangan berkenaan sedangkan Perdana Menteri telah terlebih dahulu membuat pengumuman dan memberi pertimbangan untuk menambah kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak.
































