Marius (tiga dari kiri) bersama pemimpin masyarakat dan wakil PCS semasa Majlis Pecah Tanah dan Pemberkatan Tapak projek Tadika Grace Kids.
KUDAT: Usaha memperkukuh pendidikan awal kanak-kanak di bawah Lembaga Pendidikan Awal Kanak-Kanak (PCS) terus diperkasa menerusi Majlis Pecah Tanah dan Pemberkatan Tapak projek Tadika Grace Kids di Batu 2, di sini, pada 27 Februari lalu.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Datuk Julita Mojungki yang diwakili oleh Setiausaha Politik beliau, Marius Masain.
Pada program tersebut, peruntukan sebanyak RM100,000 daripada Julita diumumkan bagi menyokong pembangunan tadika berkenaan.
Peruntukan itu dijangka membantu mempercepatkan proses pembinaan selain memastikan kemudahan pembelajaran yang selamat dan kondusif dapat disediakan kepada kanak-kanak di bawah PCS di kawasan tersebut.
Berucap mewakili Julita, Marius menegaskan bahawa pendidikan awal kanak-kanak memainkan peranan penting dalam membentuk asas perkembangan seseorang individu sejak usia muda.
“Pelaburan pada peringkat pendidikan awal bukan sekadar mengenai pembinaan bangunan, tetapi tentang mewujudkan persekitaran yang selamat dan kondusif agar kanak-kanak dapat memulakan perjalanan pembelajaran mereka dengan penuh keyakinan,” katanya.
Menurut beliau, inisiatif itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan akses kepada pendidikan awal yang berkualiti terus dipertingkatkan, khususnya di kawasan luar bandar.
Katanya lagi, pembangunan Tadika Grace Kids diharap dapat memberi manfaat kepada lebih ramai keluarga setempat, selain menyokong perkembangan menyeluruh kanak-kanak dari segi kognitif, emosi dan sosial.
Majlis tersebut turut dihadiri pemimpin masyarakat serta wakil PCS yang bersama-sama menyaksikan upacara pecah tanah dan pemberkatan tapak sebagai simbolik permulaan projek berkenaan.
Dengan adanya sokongan peruntukan itu, projek Tadika Grace Kids dijangka menjadi antara pemangkin kepada usaha memperkasa pendidikan awal kanak-kanak di daerah Kudat.






























