Hajiji menyerahkan dokumen Ikrar Bebas Rasuah (IBR) kepada Mohd. Fuad selepas Majlis IBR bagi Ahli Jemaah Menteri di Bilik Mesyuarat Jemaah Menteri, Menara Kinabalu hari ini.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor mengetuai Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) yang melibatkan Ahli Jemaah Menteri Negeri di Bilik Mesyuarat Jemaah Menteri, Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Sejurus selesai melafazkan ikrar, Hajiji bersama Ahli Jemaah Menteri menandatangani dokumen IBR yang disaksikan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah, Datuk Mohd. Fuad Bee Basrah.
Mohd. Fuad berkata, pelaksanaan program IBR bersama Kabinet Negeri Sabah itu merupakan komitmen amat positif daripada Kerajaan Negeri dalam usaha memperkukuh integriti dan tadbir urus yang baik.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan akan terus diperluaskan ke kementerian serta agensi di bawah Kerajaan Negeri bagi memastikan usaha pencegahan rasuah dilaksanakan secara menyeluruh.
“Pelaksanaan program ini sekali gus memperlihatkan keberkesanan serta kesungguhan inisiatif yang dirancang supaya amalan rasuah, salah guna kuasa dan ketirisan dapat dicegah secara lebih berkesan,” katanya.
Mohd. Fuad turut berharap lebih banyak kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta pihak swasta, akan tampil menyertai program IBR.
































