KOTA KINABALU: Gempa bumi kuat bermagnitud 6.8 dikesan berlaku di perairan berhampiran Kota Kinabalu pada jam 12.57 pagi ini (23 Feb).
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, gempa tersebut berpusat pada koordinat 7.0 darjah Utara dan 116.4 darjah Timur.
Pusat gempa dilaporkan berada kira-kira 49 kilometer barat dari Kudat dengan kedalaman 678 kilometer.
Gegaran akibat kejadian itu dirasai di beberapa kawasan di Sabah selain turut dirasai di Sarawak dan sebahagian Semenanjung Malaysia.
Bagaimanapun, jabatan berkenaan memaklumkan tiada ancaman tsunami kepada Malaysia susulan gempa bumi tersebut.
Sehubungan itu, Jabatan Meteorologi Malaysia akan terus memantau keadaan semasa dan perkembangan berkaitan kejadian berkenaan.
































