Razali menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima.
KOTA KINABALU: Program Sentuhan Kasih Ramadan yang dianjurkan di Sabah Oriental Hotel di sini mencerminkan usaha berterusan menyantuni golongan kurang berkemampuan sepanjang bulan Ramadan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Mohamed Razali Mohamed Razi.
Menurut beliau, program berkenaan merupakan satu inisiatif murni pihak hotel yang berjaya menghimpunkan masyarakat memerlukan bagi bersama-sama merasai kegembiraan Ramadan.
Katanya, penganjuran majlis itu dilihat sebagai bentuk penglibatan komuniti yang baik, khususnya dalam membantu golongan kurang berkemampuan agar tidak terpinggir daripada suasana perayaan.
“Program ini menunjukkan penglibatan yang sangat baik daripada pihak Sabah Oriental Hotel yang membawa masyarakat kurang mampu untuk diraikan bersama dalam bulan Ramadan,” kata Pengerusi Smart Sabah itu ketika ditemui selepas merasmikan majlis tersebut di Sabah Oriental Hotel, petang tadi.

Razali berkata, bagi fasa pertama program, seramai 20 penerima telah dikenal pasti untuk menerima sumbangan bantuan.
Jumlah penerima dijangka akan bertambah pada fasa seterusnya sejajar dengan komitmen penganjur untuk memperluaskan manfaat kepada lebih ramai golongan memerlukan.
Menurutnya, usaha menyantuni masyarakat kurang bernasib baik merupakan tanggungjawab bersama yang perlu diteruskan secara konsisten oleh semua pihak.
Razali turut menegaskan bahawa inisiatif memberi kembali kepada masyarakat merupakan antara misi utama yang perlu diberi penekanan oleh organisasi dan individu berkemampuan.
Katanya, apa sahaja peluang dan manfaat yang diperoleh perlu dikongsi semula dengan masyarakat sebagai tanda penghargaan dan tanggungjawab sosial.
Beliau berkata, pendekatan itu amat penting terutama dalam membantu kanak-kanak serta individu kurang bernasib baik agar mereka turut merasai sokongan komuniti.
Dalam masa sama, Razali berharap lebih banyak program kebajikan seumpama itu dapat dianjurkan pada masa hadapan dengan skala yang lebih besar.
Menurutnya, penganjuran program bukan sahaja perlu tertumpu kepada satu kelompok, sebaliknya diperluaskan kepada golongan lain yang memerlukan bantuan.
Beliau berkata, usaha memperkukuh aktiviti kebajikan akan membantu meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan berkongsi rezeki dan menyemai nilai keprihatinan.
Razali yakin kerjasama antara sektor swasta, badan bukan kerajaan dan Kerajaan mampu memperkasakan lebih banyak inisiatif kebajikan di Sabah.
Katanya, pendekatan bersepadu itu penting bagi memastikan bantuan yang disalurkan dapat memberi impak lebih menyeluruh kepada masyarakat sasaran.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan majlis berkenaan serta menyumbang kepada usaha membantu golongan memerlukan.
Razali berharap program Sentuhan Kasih Ramadan akan terus menjadi platform memperkukuh semangat kebersamaan serta budaya memberi dalam kalangan masyarakat di negeri ini.
































