MELAKA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2026 berkuat kuasa mulai 13 Februari hingga 21 Februari 2026, bersempena sambutan Perayaan Tahun Baharu Cina yang akan diraikan pada 17 Februari 2026.
Tempoh pelaksanaan skim ini melibatkan sembilan hari, iaitu empat hari sebelum perayaan, satu hari semasa perayaan dan empat hari selepas perayaan.
Secara keseluruhan, sebanyak 16 jenis barangan dikenal pasti untuk dikawal di bawah skim ini, namun jumlah barangan yang terlibat berbeza mengikut negeri, iaitu 16 barangan di Sarawak, 15 barangan di Semenanjung Malaysia dan Sabah, serta 14 barangan di Wilayah Persekutuan Labuan.
Bagi pelaksanaan SHMMP Tahun Baharu Cina 2026, empat barangan ditambah khusus di Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak, iaitu sawi pendek atau sawi Jepun, cili merah, bawang kuning besar dan bawang merah besar.
Barangan yang dikawal di bawah skim ini ialah ikan bawal putih dengan berat antara 200 gram hingga 400 gram seekor, udang putih bersaiz 41 hingga 60 ekor sekilogram, bawang putih China, bawang kuning besar, bawang merah besar, sawi pendek atau sawi Jepun bagi Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, cili merah, kobis bulat import dari Indonesia dan China kecuali Beijing, lobak merah China, lobak putih, ubi kentang China, halia tua import, kepak ayam, babi hidup yang dikawal di peringkat ladang sahaja, daging babi bahagian perut serta daging babi melibatkan daging dan lemak.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, tempoh pelaksanaan SHMMP Tahun Baharu Cina 2026 adalah bersesuaian dengan keadaan semasa bagi mewujudkan situasi menang-menang kepada pengguna dan peniaga.
“Pengguna dapat menikmati harga yang berpatutan dan peniaga pula tidak tertekan dengan tempoh masa pelaksanaan yang terlalu lama,” katanya.
Beliau berkata, selain faktor permintaan dan penawaran, kos semasa, cuaca dan kadar upah, penentuan senarai barangan, paras harga maksimum serta tempoh pelaksanaan skim dibuat dengan mengambil kira pandangan rakan strategik seperti Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), agensi kerajaan serta pemain industri.
KPDN juga sentiasa menjalinkan kerjasama dengan KPKM bagi memastikan bekalan barangan yang dikawal adalah mencukupi sepanjang tempoh pelaksanaan skim.
SHMMP Tahun Baharu Cina 2026 akan dikuatkuasakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011. Harga maksimum yang ditetapkan di peringkat pemborong dan peruncit boleh disemak melalui laman web rasmi KPDN di www.kpdn.gov.my.
Sepanjang tempoh skim, pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara akan ditempatkan di lokasi strategik termasuk pasar awam, pasar tani dan pusat membeli-belah bagi memastikan pematuhan peniaga terhadap perundangan berkaitan. Pada masa sama, penguatkuasaan secara berhemah akan dilaksanakan melalui pendekatan pendidikan, nasihat dan amaran supaya peniaga mematuhi undang-undang serta mengamalkan perniagaan beretika.
Armizan berkata, Kerajaan berharap semua pihak mematuhi harga yang ditetapkan serta menggunakan label berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal.
Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang gagal mematuhi peraturan di bawah skim ini, tambahnya.
Di bawah AKHAP 2011, individu yang menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, atau dikompaun sehingga RM50,000, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.
Bagi kesalahan gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu, individu boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000, manakala syarikat boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.
Sehubungan itu, KPDN meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan aduan lengkap melalui WhatsApp di talian 019-848 8000, Call Centre 1-800-886-800, laman sesawang https://eaduan.kpdn.gov.my, e-mel e-aduan@kpdn.gov.my atau aplikasi telefon pintar Ez ADU KPDN.
Selain pelaksanaan SHMMP, KPDN turut melaksanakan beberapa program khusus sempena sambutan Tahun Baharu Cina 2026, antaranya Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM). Bagi PJRM Tahun Baharu Cina, program ini akan berlangsung dari 3 hingga 17 Februari 2026 dengan sebanyak 920 pelaksanaan di seluruh negara.
Orang ramai boleh menyemak takwim pelaksanaan PJRM Tahun Baharu Cina 2026 menerusi laman web KPDN.

































