Redonah menyampaikan cenderamata kepada Rubbin.
KOTA KINABALU: Sedcovest akan terus meningkatkan keupayaan serta menggerakkan sepenuhnya aset dan kepakaran yang dimiliki bagi membantu pembangunan ekonomi serta melahirkan lebih ramai usahawan di Sabah.
Pengerusi Sedcovest Holdings Sdn. Bhd., Datuk Redonah Bahanda berkata, agensi itu perlu lebih berani dan bertindak secara strategik dalam menghadapi pelbagai cabaran bagi melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat dan negeri.
Menurutnya, setiap aset yang dimiliki Sedcovest tidak seharusnya sekadar wujud di atas kertas, sebaliknya dimanfaatkan sepenuhnya, dioptimumkan nilainya dan diterjemahkan kepada pulangan yang memberi impak sebenar kepada organisasi.
“Penggunaan aset bukan lagi satu pilihan, tetapi merupakan keperluan strategik bagi memastikan kelangsungan serta pertumbuhan syarikat,” katanya ketika berucap pada majlis pra pelancaran dan lawatan ke Pusat Inkubator Perniagaan (PIP) Anjung Selera, Likas, hari ini.
Beliau berkata, masa depan Sedcovest tidak hanya ditentukan oleh aset fizikal atau angka kewangan semata-mata, sebaliknya bergantung kepada keberanian untuk berubah, kesungguhan melaksanakan agenda serta kesatuan sebagai satu pasukan.
“Kita menginsafi bahawa syarikat ketika ini sedang melalui tempoh yang mencabar. Namun, percayalah bahawa setiap cabaran akan membina kekuatan dan setiap kesukaran pasti disertai kemudahan.
“Jika kita bergerak sehaluan, berfikir secara strategik dan bertindak dengan penuh integriti, saya yakin Sedcovest mampu melangkah lebih jauh, bukan sekadar memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI), malah mencipta pencapaian yang boleh dibanggakan bersama,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru semua pihak pengurusan dan warga kerja agar terus memperkukuh Sedcovest sebagai sebuah organisasi yang bukan sahaja mantap dari segi prestasi kewangan, tetapi juga kukuh dari segi nilai, keyakinan dan semangat kebersamaan.
Redonah turut menegaskan bahawa sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Sedcovest bukan sahaja dipertanggungjawabkan untuk mencipta nilai sosial dan membangunkan usahawan, malah memastikan prestasi kewangan yang kukuh serta keupayaan menjana pendapatan secara berterusan.
Seiring dengan aspirasi itu, katanya, Sedcovest berharap Pusat Inkubator Perniagaan (PIP) Anjung Selera Likas dapat menjadi platform berkesan dalam menyediakan peluang kepada usahawan PKS untuk memiliki premis perniagaan yang lebih fleksibel dan ekonomi di sekitar bandar raya Kota Kinabalu.
PIP Anjung Selera merupakan outlet ketiga selepas PIP Wisma SEDCO dan diwujudkan selaras dengan perubahan landskap keusahawanan masa kini yang semakin dinamik, inovatif dan berdaya saing.
“PIP Anjung Selera bukan sekadar menyediakan ruang perniagaan, tetapi membina ekosistem yang menyokong usahawan untuk berkembang, mencuba idea baharu dan mencipta kejayaan,” tambah beliau.
Pada masa sama, Redonah turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada mantan Pengerusi Sedcovest, Datuk Rubbin Guribah, atas dedikasi dan sumbangan beliau sepanjang tiga tahun menerajui syarikat.
Menurutnya, kepimpinan terdahulu telah meletakkan asas yang kukuh bagi pertumbuhan Sedcovest, dan legasi tersebut perlu diperkasakan demi kesinambungan kejayaan syarikat pada masa hadapan.
“Setiap peralihan kepimpinan bukan sekadar pertukaran individu, tetapi satu proses memperkukuh kekuatan yang telah dibina. Legasi yang baik perlu diperkasa agar Sedcovest terus relevan, berdaya saing dan mampan,” katanya.
Majlis berkenaan turut dihadiri mantan Pengerusi Sedcovest Holdings Sdn. Bhd., Datuk Rubbin Guribah; Timbalan Pengurus Besar Kumpulan SEDCO (Hal Ehwal Korporat dan Kewangan) merangkap Setiausaha Syarikat, Azrul Ahmad; Timbalan Pengurus Besar Kumpulan SEDCO (Perancangan dan Pembangunan), Suhaimi Untong; Pengurus Besar Sedcovest, Abd. Rahim Md. Zain, serta barisan Ahli Lembaga Pengarah, pengurusan kanan dan seluruh warga kerja Sedcovest.
































