Kasim ketika ditemui media
KOTA KINABALU: Beberapa jalan utama di pusat bandaraya akan ditutup atau dilencongkan sementara Sempena Karnival Tahun Baharu Cina 2026 yang berlangsung di Lintasan Deasoka pada 9 hingga 11 Februari ini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Kasim Muda berkata langkah tersebut diambil bagi memastikan kelancaran pergerakan trafik dan keselamatan orang ramai sepanjang karnival.
“Laluan yang terlibat antaranya Jalan KK Bypass, Jalan Gaya, Jalan Pantai dan Jalan Coastal.
“Antara cabaran utama adalah kekurangan tempat letak kenderaan, tindakan menurunkan penumpang di laluan utama dan meletak kenderaan secara berlapis atau di atas pembahagi jalan,” katanya ketika ditemu bual Sabah FM, pada Jumaat.
Menurut beliau, laluan kecemasan seperti untuk ambulans dan jentera bomba perlu sentiasa dapat diakses bagi menghadapi sebarang kecemasan.
“Anggota polis trafik akan ditempatkan di laluan-laluan terlibat bagi memastikan kelancaran pergerakan dan keselamatan orang ramai.
“Selain aspek kelancaran trafik, polis turut memberi perhatian kepada pengurusan keselamatan di kawasan sesak bagi mengekang kejadian jenayah kecil seperti kecurian,” ujarnya.
Selain itu, beliau juga menasihatkan pengunjung memastikan kanak-kanak sentiasa berada di bawah pengawasan ibu bapa atau penjaga manakala warga emas disaran berehat di tempat sesuai dan mengelak berada di kawasan yang terlalu sesak.
Kassim turut menyeru semua pengguna jalan raya supaya memberi kerjasama, mematuhi peraturan, merancang perjalanan dan menjaga tingkah laku sepanjang karnival berlangsung.






























