Lelaki ditemui meninggal dunia depan rumah di Kampung Nosoob Baru, Penampang.
PENAMPANG: Polis Penampang mengesahkan menerima satu laporan berhubung penemuan seorang lelaki yang meninggal dunia di hadapan sebuah rumah di Kampung Nosoob Baru, Penampang, kira-kira jam 8.15 pagi, hari ini.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, laporan berkenaan diterima berkaitan penemuan seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri di hadapan garaj sebuah rumah di kampung berkenaan.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa merupakan seorang lelaki tempatan berumur 43 tahun yang ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di hadapan garaj rumah tersebut dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan awal di lokasi kejadian tidak menemui sebarang kesan pergelutan, pecah masuk atau unsur jenayah.
“Tiada kecederaan luaran yang mencurigakan dikesan pada tubuh mangsa,” katanya.
Sammy berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu bagi tujuan bedah siasat untuk mengenal pasti punca sebenar kematian.
“Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan rasmi laporan bedah siasat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat.
“Orang ramai juga diminta memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini,” katanya.
































