Shahelmey (empat dari kiri) bergambar bersama peserta program Jom Memancing di Jeti Konkrit Kampung Tanjung Aru, semalam.
PUTATAN: Aktiviti riadah setempat bukan sahaja mampu memperkukuh perpaduan masyarakat, malah berpotensi menjana idea bagi mempelbagaikan kekuatan ekonomi di lokaliti masing-masing.
Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya berkata, kekuatan itu boleh diterjemahkan melalui pelbagai medium dalam usaha melahirkan masyarakat yang berdaya saing pada masa hadapan.
“Banyak aktiviti riadah memberi impak positif kepada komuniti setempat, malah ada antaranya mampu menjana atau menambah pendapatan.
“Sehubungan itu, menerusi ikatan perpaduan yang terjalin dalam kalangan masyarakat, kepelbagaian idea dapat dicetuskan bagi memacu ekonomi baharu berasaskan aktiviti riadah,” katanya selepas merasmikan program ramah mesra bersama peserta Jom Memancing di Jeti Konkrit Kampung Tanjung Aru, di sini, semalam.
Program yang disertai kira-kira 50 peserta itu merupakan anjuran Kelab Komuniti Belia Tanjung Aru dengan kerjasama Belia Masjid Al Khauthar, Tanjung Aru.
Mengulas lanjut, Shahelmey berkata, aktiviti berkenaan menjadi wadah alternatif yang mampu menarik minat kaki pancing, malah pelancong.
“Aktiviti yang dianjurkan komuniti belia di sini merupakan usaha yang memberangsangkan dan sejajar dengan trend semasa melibatkan minat serta riadah.
“Lokasi menarik seperti Jeti Konkrit Kampung Tanjung Aru ini bukan sahaja mampu menarik peminat memancing, malah berpotensi menjadi tarikan pelancongan pada masa hadapan,” katanya.
Turut hadir ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya; Pegawai Khas (Pentadbiran dan Operasi) Parlimen P.173 Putatan, Mahadzir Abd. Majid; serta Pengerusi Kelab Komuniti Belia Tanjung Aru, Mohd. Shukry Abdul Kadir.






























