PUTRAJAYA: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali menerima kunjungan hormat daripada Menteri Pembangunan Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat (KWKKR) Sabah, Datuk Julita Mojungki di sini, petang tadi.
Kunjungan tersebut menjadi platform perbincangan dan pertukaran pandangan berkaitan usaha memperkasa hak-hak pengguna khususnya di Sabah, yang merupakan antara bidang kefungsian di bawah kementerian yang diterajui Julita.
Armizan berkata, perbincangan turut memberi tumpuan kepada isu-isu berkaitan perlindungan pengguna serta pendekatan strategik yang boleh dilaksanakan secara bersama bagi meningkatkan kesedaran dan kebajikan pengguna di negeri itu.
Beliau berharap pertemuan ini dapat memperkukuh kerjasama strategik antara KPDN dengan KWKKR Sabah dalam mewujudkan ekosistem perlindungan pengguna yang menyeluruh dan responsif terhadap keperluan semasa.






























