James Ratib
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan menilai semula prestasi syarikat YTL Communications Sdn. Bhd. berikutan kelewatan pelaksanaan projek penyediaan perkhidmatan internet di sekolah-sekolah di negeri ini yang menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib berkata, kementeriannya menerima banyak keluhan dan aduan daripada pihak sekolah serta ibu bapa mengenai kelewatan projek berkenaan, khususnya melibatkan 736 buah sekolah yang menggunakan teknologi fiber Point-of-Presence (PoP).
Menurut beliau, antara isu utama yang dikenal pasti termasuk perkhidmatan internet yang tidak memuaskan di beberapa sekolah, dengan capaian jalur lebar yang tidak mencapai tahap seperti dijanjikan, selain respon yang lambat daripada pihak YTL dalam menangani aduan yang dikemukakan.
“Kita juga mendapati berlaku kelewatan pemasangan infrastruktur fiber PoP walaupun lokasi telah dikenal pasti, selain terdapat PoP yang belum sedia digunakan walaupun disenaraikan sebagai siap,” katanya dalam kenyataan hari ini.
James turut memaklumkan bahawa sebahagian sekolah masih bergantung kepada menara 1BestariNet, menyebabkan kualiti capaian internet kekal rendah dan tidak konsisten, sekali gus menyukarkan usaha pendigitalan pendidikan di Sabah.
“Kementerian memandang serius perkara ini kerana akses internet yang stabil dan berkualiti merupakan keperluan asas dalam sistem pendidikan masa kini, khususnya bagi menyokong pembelajaran digital dan pengurusan sekolah yang lebih cekap,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, Kerajaan Sabah akan melaksanakan penilaian menyeluruh terhadap prestasi YTL, termasuk pematuhan kepada garis masa pelaksanaan, kualiti perkhidmatan yang diberikan serta kecekapan pengurusan dan respon terhadap aduan.
“Penilaian ini bertujuan memastikan tiada kelewatan berpanjangan yang terus menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran, khususnya di sekolah-sekolah luar bandar dan pedalaman,” katanya.
James menegaskan, sekiranya terdapat bukti sahih mengenai kelewatan atau kegagalan pelaksanaan oleh pihak YTL, Kerajaan Sabah tidak akan teragak-agak untuk menamatkan lantikan tersebut demi kepentingan murid, guru dan kelangsungan sistem pendidikan negeri.
“Kerajaan Sabah kekal komited untuk memastikan setiap sekolah mendapat akses internet yang stabil, berkualiti dan berkesan, selaras dengan aspirasi memperkukuh pendidikan berteraskan sains, teknologi dan inovasi,” katanya.






























