Azrul Ibrahim
KOTA KINABALU: Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menegaskan titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong wajar dijadikan pedoman bersama, khususnya dalam mengurus isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang sering dibahaskan secara terbuka dan memerlukan kebijaksanaan semua pihak demi kepentingan bersama.
Pemangku Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Azrul Ibrahim berkata, penegasan Baginda agar semua pihak kembali kepada niat asal pembentukan Malaysia yang berteraskan perpaduan, saling menghormati dan kerjasama erat antara Sabah, Sarawak, Semenanjung serta Kerajaan Persekutuan adalah peringatan yang amat tepat pada masanya.
“Malaysia tidak dibina atas perbezaan pandangan yang memisahkan, sebaliknya atas semangat perkongsian, kepercayaan dan tanggungjawab bersama,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, sebagai anak muda Sabah, tuntutan hak bukan bertujuan untuk memecah-belahkan, sebaliknya bagi memperkukuh Persekutuan. Justeru, usaha menuntut dan menunaikan hak Sabah di bawah MA63 perlu diteruskan secara berterusan.
Azrul berkata, tuntutan tersebut, khususnya berkaitan Pemberian Khas 40 peratus hasil Sabah, terus diperkasakan melalui komitmen berterusan Kerajaan Sabah pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan kerjasama erat Kerajaan Persekutuan.
Beliau menjelaskan pendekatan berunding, berfakta dan berlandaskan Perlembagaan telah membuahkan kemajuan yang signifikan apabila beberapa tuntutan MA63 berjaya direalisasikan, sementara usaha melengkapkan tuntutan lain diteruskan secara berperingkat dan penuh kesepakatan.
“Ini membuktikan bahawa ketegasan tidak memerlukan retorika, dan keberanian tidak menuntut hasutan,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau berkata, titah Baginda agar hak-hak negeri dihormati tanpa mengabaikan kepentingan Malaysia secara keseluruhan perlu difahami secara seimbang dan matang oleh semua pihak.
Menurutnya, memperjuangkan hak Sabah tidak bermakna menafikan semangat Persekutuan, sebaliknya pembangunan Sabah yang adil dan bermaruah akan memperkukuh kemajuan, kestabilan serta perpaduan negara.
Azrul turut menegaskan golongan pemuda khususnya harus menolak politik yang memperbesarkan perbezaan pandangan, sebaliknya menggantikannya dengan politik solusi yang berasaskan kebijaksanaan, integriti dan rasa tanggungjawab.
“Seperti yang dititahkan oleh Seri Paduka Baginda, setiap keputusan politik hari ini bukan sekadar pendirian parti, tetapi penentu masa depan negara,” katanya.






























