Shahelmey (kiri) menerima cenderamata daripada Mohd. Azmir.
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir. Shahelmey Yahya, telah dilantik sebagai Pengerusi Sabah Oil and Gas Development Corporation Sdn. Bhd. (SOGDC) dengan status setaraf Menteri.
Pelantikan beliau diikuti dengan lawatan rasmi dan sesi taklimat Pengerusi ke ibu pejabat SOGDC, yang disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan, Mohd Azmir Ramli bersama barisan pengurusan tertinggi SOGDC.
Lawatan tersebut mencerminkan komitmen awal Shahelmey terhadap peranan dan tanggungjawab beliau dalam menerajui hala tuju strategik organisasi.
Dalam sesi itu, beliau menekankan kepentingan tadbir urus yang kukuh, pemantauan prestasi korporat yang berkesan, serta pengurusan bersepadu terhadap SOGDC dan anak-anak syarikatnya.
Shahelmey juga menyatakan hasrat untuk memperkukuh strategi pelaburan SOGDC, dengan memberi tumpuan kepada peluang pelaburan strategik yang mampan, serta memastikan pelaksanaan pelaburan sedia ada berjalan secara teratur dan selaras dengan objektif syarikat.
Pihak pengurusan dan seluruh warga kerja SOGDC menyambut baik pelantikan ini dan menzahirkan komitmen penuh untuk bekerjasama secara profesional, sambil menyokong kepimpinan Pengerusi dalam melaksanakan agenda korporat dan dasar strategik syarikat. Budaya kerja berintegriti, harmoni dan berprestasi tinggi juga akan terus diperkukuh.
SOGDC yakin bahawa kepimpinan baharu ini akan memperkukuh peranan syarikat sebagai entiti strategik negeri, seterusnya menyumbang secara berterusan kepada pembangunan sosioekonomi Sabah melalui pendekatan yang mampan dan berimpak tinggi.






























