Dr. Joachim, Dr. Jonnybone dan tetamu jemputan memotong kek sempena Majlis Rumah Terbuka Hari Natal 2025 dan Tahun Baharu 2026 Peringkat DUN Telupid.
TELUPID: Kerajaan Negeri terus komited menyokong penganjuran serta sambutan pelbagai perayaan di negeri ini sebagai platform penting untuk memperkukuh perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, rakyat Sabah amat bertuah kerana setiap perayaan yang diraikan sentiasa disambut bersama-sama tanpa mengira latar belakang kaum, agama mahupun fahaman politik.
Menurutnya, perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Hari Natal bukan sekadar acara keagamaan atau kebudayaan, sebaliknya menjadi simbol kesatuan serta keharmonian rakyat Sabah.
“Walaupun berbeza fahaman politik, agama dan kaum, kita masih mampu duduk semeja meraikan perayaan-perayaan ini bersama-sama. Inilah kekuatan dan keistimewaan Sabah,” katanya ketika merasmikan Majlis Rumah Terbuka Hari Natal 2025 dan Tahun Baharu 2026 Peringkat DUN Telupid di Dewan IPS Telupid, hari ini.
Dr. Joachim turut menegaskan bahawa kesatuan dan kesepakatan merupakan kunci utama bagi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.
“Jangan disebabkan perbezaan yang wujud, kita hidup dalam suasana tidak harmoni. Sebaliknya, perbezaan inilah yang perlu diraikan dan dijadikan asas untuk saling memahami serta menghormati antara satu sama lain,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Penganjur merangkap Wakil Rakyat Telupid, Datuk Dr. Jonnybone J Kurum berkata, rakyat Sabah telah membuktikan keupayaan untuk hidup dalam suasana aman dan harmoni walaupun terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan keturunan.
Katanya, keadaan aman dan harmoni tersebut merupakan keunikan Sabah, di mana masyarakatnya mampu hidup secara toleransi di sebalik perbezaan yang ada.
Beliau turut mengajak semua pihak supaya mengetepikan perbezaan politik selepas pilihan raya dan memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha membangunkan daerah Telupid.
“Pilihan raya telah selesai. Marilah kita buang segala perbezaan ideologi politik sepanjang kempen lalu dan bersama-sama bekerjasama membangunkan daerah Telupid demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Majlis tersebut dimeriahkan dengan kehadiran pemimpin tempatan, wakil jabatan kerajaan, pemimpin masyarakat serta penduduk setempat, selain persembahan pentas yang memeriahkan sambutan Hari Natal dan Tahun Baharu dalam suasana penuh muhibah.






























