KOTA KINABALU: Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib berkata, Kerajaan Negeri akan berusaha mendapatkan kelulusan bagi kesemua 45,000 permohonan komputer riba yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi kegunaan sekolah-sekolah di seluruh negeri ini.
Beliau berkata, inisiatif tersebut melibatkan peringkat prasekolah, sekolah rendah dan sekolah menengah, dengan komputer riba ditempatkan di sekolah serta diuruskan secara berpusat melalui kemudahan seperti bilik sumber bagi memastikan penggunaan yang berkesan dan adil.
“MCMC juga akan membekalkan papan pintar (smart board) bagi menyokong pembelajaran digital di dalam bilik darjah,” katanya ketika ditemui media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Tindakan Bantuan Komputer Riba, Starlink dan Panel Solar bagi Sekolah Rendah dan Menengah di Negeri Sabah, di sini, hari ini.
James memaklumkan bahawa Sabah mempunyai kira-kira 1,300 buah sekolah, dan sasaran jangka panjang kementerian adalah untuk melengkapkan bilik darjah dengan papan pintar secara berperingkat serta memastikan guru-guru diberikan latihan dalam kaedah pengajaran digital.
Selain itu, beliau berkata, MCMC akan menyediakan sambungan internet satelit Starlink kepada 68 buah sekolah yang masih belum mempunyai capaian internet, di samping membekalkan sistem tenaga solar kepada sekolah-sekolah yang tidak mempunyai bekalan elektrik.
“Kita mahu memastikan Sabah tidak ketinggalan jauh dari segi pembangunan teknologi, termasuk teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI), berbanding negeri-negeri di Semenanjung Malaysia dan Sarawak,” katanya.
Menurut beliau, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah akan menyelaras dan merumuskan hasil perbincangan sebelum satu permohonan rasmi dikemukakan kepada Menteri MCMC untuk pertimbangan dan kelulusan.
Mengulas jumlah komputer riba yang dipohon, James menjelaskan bahawa permohonan sebanyak 45,000 unit itu adalah berdasarkan keperluan yang dikenal pasti oleh Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dan tertakluk kepada kelulusan MCMC.
Beliau menambah bahawa setakat ini anggaran kos keseluruhan masih belum dimuktamadkan, namun menyifatkan inisiatif tersebut sebagai satu sumbangan besar MCMC kepada pembangunan sektor pendidikan di Sabah.
Berhubung perjalanan pelajar ke Semenanjung Malaysia bagi melanjutkan pengajian, James berkata, Dana Pendidikan Negeri Sabah akan terus membantu pelajar yang layak, manakala cadangan diskaun tambang penerbangan bersama syarikat penerbangan kini sedang dibincangkan oleh agensi-agensi berkaitan.
































