Pemasangan paip pembentung baharu dalam kerja-kerja penyelenggaraan susulan kejadian banjir di Kampung Mohimboyon dan Kampung Lipantai.
RANAU: Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Masidi Manjun yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan mengarahkan tindakan segera termasuk kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan sistem saliran sungai susulan kejadian banjir yang melanda Kampung Mohimboyon dan Kampung Lipantai di sini, malam kelmarin.
Beliau berkata, antara tindakan yang dilaksanakan serta-merta ialah pembersihan sistem perparitan, pemasangan paip pembentung baharu, penambahbaikan laluan aliran air serta penyelenggaraan kemudahan awam yang terjejas bagi mengelakkan risiko banjir berulang.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjamin, khususnya ketika cuaca tidak menentu.

Dalam kejadian tersebut, 19 buah kenderaan terperangkap akibat laluan dinaiki air tetapi berjaya diselamatkan oleh sukarelawan pacuan empat roda daripada Kundasang Highland Four Wheel Drive Club (KH4WDC), Kilimu Garage (KGR) dan Red Army 4X4.
Pihak polis turut menjalankan pemantauan di kedua-dua kampung terbabit bagi memastikan keadaan terkawal dan keselamatan penduduk terpelihara.
Masidi turut memberi jaminan bahawa Pusat Khidmat DUN Karanaan sentiasa bersiap sedia untuk memantau serta menyalurkan bantuan kepada kawasan yang terjejas akibat banjir dan tanah runtuh susulan hujan lebat.
































