KUNDASANG: Kerajaan Negeri Sabah melalui Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Sabah dan Kementerian Kerja Raya dan Utiliti (KKRU) kekal komited melaksanakan kempen keselamatan jalan raya secara berterusan bagi menjamin kesejahteraan dan keselamatan rakyat.
Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, keselamatan jalan raya merupakan tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama semua pihak, khususnya pengguna jalan raya.
“Setiap individu memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan diri sendiri dan juga pengguna jalan raya yang lain,” katanya kepada media pada Program Kempen Kesedaran Keselamatan Jalan Raya Sempena Hari Natal 2025, di sini, hari ini.
Menurut beliau, kempen itu bertujuan meningkatkan kesedaran, mengubah sikap pengguna jalan raya serta mengurangkan risiko kemalangan, kecederaan dan kehilangan nyawa.
Selain penyampaian mesej kesedaran, katanya, kempen ini turut menekankan langkah pencegahan praktikal melalui pengagihan barangan keselamatan seperti segi tiga kecemasan dan kit pertolongan cemas kepada pengguna jalan raya.
Beliau turut mengingatkan pengguna agar memandu secara berhemah, mematuhi had laju, mengelakkan penggunaan telefon bimbit ketika memandu serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan.
Kempen tahunan anjuran MKJR Sabah ini dilaksanakan secara konsisten setiap musim perayaan berikutan peningkatan trafik, dengan daerah Ranau dipilih sebagai lokasi kerana merupakan laluan utama yang menghubungkan Pantai Barat dan Pantai Timur Sabah.




























