Jamawi menyantuni semua Ketua Markas Pilihanraya DUN Melalap dalam Sambutan Perayaan Krismas hari ini.
TENOM: Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor terus menunjukkan keprihatinan dan komitmen terhadap semua gereja di bawah Majlis Gereja Sabah dengan memperuntukkan sejumlah dana kepada badan-badan keagamaan bukan Islam.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N42 Melalap, Datuk Jamawi Jaafar berkata, sambutan Krismas yang diadakan setiap tahun bukan sekadar perayaan keagamaan, malah menjadi simbol perpaduan, keharmonian dan semangat kebersamaan rakyat berbilang etnik serta agama di negeri ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan Ikhlas kepada 61 buah gereja dalam DUN Melalap, di Dewan MRSG. Wancher St. Anthony Tenom hari ini.

Jamawi (duduk, tengah) bersama isteri dan semua ahli Majlis Gereja Tenom bergambar kenangan dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Ikhlas Sambutan Perayaan Krismas 2025.
Jamawi berkata, pendekatan inklusif Kerajaan Negeri terhadap semua komuniti agama mencerminkan komitmen berterusan untuk memelihara keharmonian sosial serta memperkukuh hubungan antara kaum dan kepercayaan di Sabah.
Sehubungan itu, beliau berharap agar seluruh masyarakat di DUN Melalap terus berganding bahu, hidup dalam suasana bersatu padu, harmoni dan aman sejahtera demi kesejahteraan bersama.
Dalam pada itu, Jamawi turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baru 2026 kepada seluruh rakyat di kawasannya serta berharap tahun mendatang membawa lebih banyak kejayaan dan mengukuhkan lagi persahabatan dalam kalangan masyarakat.

Jamawi bersalaman dengan ahli Majlis Gereja Tenom.
Beliau juga menasihatkan orang ramai yang akan menziarahi keluarga di luar kawasan agar sentiasa berhati-hati ketika memandu dan memastikan keselamatan sepanjang perjalanan.
Jamawi bersama isteri, Datin Zainatunnisa Ibrahim menjemput orang ramai serta semua ahli jemaah gereja untuk hadir ke Majlis Rumah Terbuka Krismas DUN Melalap 2025 yang akan diadakan di Dewan Terbuka OKK Datuk Sanggau Jalang pada 28 Disember ini bermula jam 11.30 pagi.
Pengerusi Penganjur Majlis Rumah Terbuka Krismas DUN Melalap 2025 ialah Alfhonso Fiel.
Sementara itu Pengerusi Majlis Gereja Tenom, Aidah John berharap agar dapat merayakan sambutan Krismas yang lebih meriah bersama Jamawi pada tahun hadapan dan berterima kasih di atas sumbangan Krismas kepada semua gereja dan berharap beliau (Jamawi) akan terus membantu membangunkan gereja-gereja daif dalam DUN Melalap. Turut hadir Ketua Daerah, Tusib Tulas serta kepimpinan gereja yang lain.
Selepas itu, Jamawi menyantuni 147 Ketua-ketua Markas Pilihanraya DUN Melalap di Pusat khidmat Wakil Rakyat N.42 Melalap bagi sambutan perayaan Krismas.






















