Jamawi (duduk, tengah) merakamkan gambar kenangan dengan semua yang hadir dalam majlis Sambutan Hari Krismas MAFFI 2025.
KOTA KINABALU: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berharap agar semangat persahabatan dalam kalangan warga Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) terus diperkukuh menjelang tahun 2026.
Beliau berkata, suasana kerja yang saling menyokong, terbuka untuk berbincang dan sentiasa bersedia membantu antara satu sama lain perlu dikekalkan demi memastikan segala perancangan serta agenda kementerian dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan berjiwa.

Jamawi ditemani isteri, Datin Zainatunnisa Ibrahim melawat gerai pameran serta bergambar kenangan dengan semua kakitangan jabatan dan agensi MAFFI.
Menurutnya, asas persahabatan yang kukuh akan menjadi pemangkin kepada pelaksanaan dasar dan program kementerian secara lebih tersusun, sekali gus memperkukuh kepercayaan serta kerjasama dalam organisasi.
Jamawi berkata demikian semasa berucap pada Sambutan Hari Krismas MAFFI Tahun 2025 bertemakan Strengthen Friendship yang diadakan di kementeriannya hari ini.
Beliau turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua warga kementerian serta agensi di bawah MAFFI yang hadir, sambil menyifatkan sambutan mesra yang diterimanya amat mengharukan.
Beliau berkata, majlis berkenaan merupakan yang pertama disertainya bersama keluarga besar kementerian sejak dilantik sebagai Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan.
Jamawi turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa penganjur yang diketuai oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah atas usaha gigih mereka menjayakan majlis berkenaan dengan penuh warna-warni dan kehangatan.

Jamawi ditemani isteri, Datin Zainatunnisa Ibrahim bergambar kenangan dengan semua kakitangan jabatan dan agensi MAFFI
Mengulas tema sambutan tahun ini, beliau berkata, Strengthen Friendship amat bertepatan dengan keadaan dan keperluan MAFFI pada masa ini.
Katanya, persahabatan bukan sekadar hubungan peribadi, sebaliknya menjadi asas kepada kepercayaan, kerjasama dan kefahaman dalam sebuah organisasi yang besar dan pelbagai seperti MAFFI.
Beliau menegaskan bahawa apabila hubungan sesama warga kerja kukuh, komunikasi akan menjadi lebih lancar, urusan kerja lebih mudah dan segala cabaran dapat dihadapi bersama secara matang serta berlapang dada.
Jamawi turut mengingatkan agar jabatan, agensi serta seluruh kakitangan MAFFI untuk tidak bersaing sesama sendiri tetapi sebaliknya saling melengkapi antara satu sama lain.
Sejak mula bekerjasama dengan warga kementerian, Jamawi berkata, beliau dapat melihat sendiri bagaimana agensi-agensi di bawah MAFFI bergerak sebagai satu pasukan yang tersusun dan saling melengkapi.
Beliau mengibaratkan kerjasama itu seperti sebuah mesin yang disenggara dengan baik, di mana setiap komponen memahami peranan masing-masing dan bergerak ke arah matlamat yang sama.
Menurutnya, keadaan tersebut bukan mudah dicapai dan hanya boleh wujud apabila terdapat rasa hormat, kepercayaan serta persahabatan yang tulen dalam kalangan warga kerja.

Jamawi ditemani isteri, Datin Zainatunnisa Ibrahim bergambar kenangan dengan semua kakitangan jabatan dan agensi MAFFI
Jamawi berkata, sambutan Krismas membawa mesej sejagat tentang kasih sayang, penerimaan dan kebersamaan yang amat dekat dengan masyarakat Sabah yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan kepercayaan.
Beliau menambah, majlis seumpama itu bukan sekadar perayaan, sebaliknya menjadi ruang untuk warga kementerian saling mengenali dengan lebih dekat, mengukuhkan hubungan serta menghargai perbezaan sebagai satu kekuatan bersama.
Beliau mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada seluruh warga kementerian dan keluarga masing-masing, sambil berharap perayaan itu membawa kegembiraan, ketenangan serta kenangan manis bersama insan tersayang.
Beliau turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Menyambut Tahun Baharu 2026 dan berharap tahun mendatang akan terus memperkukuh persahabatan serta membawa lebih banyak kejayaan kepada MAFFI.
Turut hadir Pembantu Menteri Datuk Hendrus Anding; Setiausaha Tetap Kementerian, Datuk Leonard Stephen Poyong; isteri Datuk Jamawi, Datin Zainatunnisa Ibrahim; Pengarah Perkhidmatan Veterinar Sabah merangkap Pengerusi Penganjur Majlis Sambutan Krismas peringkat Kementerian tahun 2025, Timbalan- timbalan Setiausaha Tetap dan beberapa lagi Ketua-ketua Jabatan dan Agensi.




























