KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menguatkuasakan kadar baharu pembayaran saman bermula 1 Januari 2026, selaras dengan usaha meningkatkan pematuhan undang-undang serta disiplin pengguna jalan raya.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kegagalan orang awam menjelaskan tunggakan saman dalam tempoh yang ditetapkan boleh membawa kepada tindakan mahkamah selain disenaraikan hitam bagi urusan pembaharuan lesen kenderaan motor dan lesen memandu.
Menurut beliau, penguatkuasaan itu bertujuan memastikan semua saman diselesaikan dalam tempoh sewajarnya bagi menjamin kelancaran pentadbiran serta keselamatan di jalan raya.
Sehubungan itu, orang ramai disaran memanfaatkan tawaran diskaun sebanyak 70 peratus yang sedang dilaksanakan sehingga 30 Disember 2025 bagi menyelesaikan saman tertunggak sebelum kadar baharu dikuatkuasakan.
Beliau menjelaskan, bermula tahun 2026, struktur kadar kompaun baharu akan dilaksanakan mengikut tempoh pembayaran yang ditetapkan.
Dalam tempoh 15 hari pertama daripada tarikh saman dikeluarkan, pesalah akan diberikan potongan sebanyak 50 peratus daripada kadar kompaun asal.
Bagaimanapun, bagi saman yang melebihi 30 hari, bayaran kadar penuh akan dikenakan tanpa sebarang pengurangan atau diskaun.
Tambahnya, tiada lagi pemberian diskaun khas atau pengurangan kompaun selepas tarikh kuat kuasa kadar baharu tersebut.
Walau bagaimanapun, PDRM bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan melaksanakan tempoh peralihan atau tempoh pengampunan sebagai langkah memberi ruang kepada pesalah trafik menyelesaikan tunggakan sebelum tindakan lebih tegas diambil.
Kasim berkata, tempoh peralihan itu diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh orang awam untuk menyelesaikan saman tertunggak dan mengelakkan sebarang implikasi undang-undang pada masa hadapan.
Beliau turut menyeru semua pihak agar mengambil peluang penyelesaian awal yang disediakan serta sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya.
Langkah itu penting bagi memastikan aspek keselamatan, kelancaran dan ketertiban lalu lintas sentiasa terpelihara demi kesejahteraan semua pengguna jalan raya.


































