TENGHILAN: Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) N.14 Tamparuli, Dr. Bonaventure Boniface menyumbangkan sebanyak 100 buah kerusi plastik kepada Sekolah Kebangsaan (SK) St James Tenghilan di sini, kelmarin.
Sumbangan berkenaan bertujuan membantu menambah kemudahan sekolah serta memberikan keselesaan kepada warga sekolah, khususnya dalam menjayakan pelbagai program, aktiviti dan majlis yang dianjurkan.
Dr. Bonaventure yang juga Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, hadir bersama rombongan bagi menyerahkan sendiri kerusi berkenaan kepada pihak sekolah.
Sumbangan tersebut diterima oleh Penolong Kanan Pentadbiran (PK1) SK St James Tenghilan, Cikgu Jovita bagi pihak sekolah.
Jovita turut merakamkan penghargaan dan terima kasih atas sumbangan berkenaan yang menurutnya amat membantu dalam menambah kemudahan serta memberikan keselesaan kepada warga sekolah.
Dr. Bonaventure berharap sumbangan tersebut dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya serta membantu memenuhi keperluan kemudahan di SK St James Tenghilan.
Menurut beliau, usaha membantu institusi pendidikan merupakan antara bentuk keprihatinan terhadap kebajikan murid, guru dan komuniti setempat.
“Sekolah merupakan antara institusi terpenting dalam komuniti. Apa juga bantuan yang dapat meningkatkan keselesaan guru dan murid, walaupun dalam bentuk yang sederhana, sudah tentu memberi manfaat kepada warga sekolah,” katanya.
Pada masa yang sama, Dr. Bonaventure turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam atas sokongan yang diberikan dalam usaha membantu meningkatkan kemudahan serta keselesaan pihak sekolah.
Beliau berkata, kerjasama dan sokongan pelbagai pihak amat penting dalam memastikan keperluan institusi pendidikan, khususnya di peringkat akar umbi, terus mendapat perhatian.
Turut hadir Naib Ketua Bahagian I, Boe Sindolun; Setiausaha Bahagian, Henry Insing; Bendahari Bahagian, Selvis Gambar; Naib Ketua Pemuda I, Walter Binson; serta Ahli Jawatankuasa Bahagian, Percy Johnny.






























