Tun Musa bersama ribuan jemaah ketika solat jenazah.
KOTA KINABALU: Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin yang meninggal dunia awal pagi Jumaat.
Tun Musa bersama beberapa pemimpin negeri dan ribuan orang awam menyertai solat jenazah di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu yang diimamkan Imam Besar Masjid Negeri Sabah, Ustaz Suhaidi Kuanting sejurus selesai solat Jumaat.
Jenazah Allahyarham Bung kemudian dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Likas.
Hadir sama memberi penghormatan terakhir ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Ariffin Mohd Arif; Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin; serta Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong.


































