Hajiji mengaminkan doa ketika menziarahi jenazah Allahyarham Bung Moktar di Idang Residen Luyang hari ini.
KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor menziarah jenazah Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin di Idang Residen, Luyang, untuk memberi penghormatan terakhir hari ini.
Beliau berkata, Allahyarham merupakan seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada negeri, terutama sekali di kawasan beliau.
“Sebagai sahabat lama, saya amat bersimpati dan mengingati Allahyarham khususnya ketika beliau dalam keadaan sakit sebelum ini.

Hajiji mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham Bung Moktar ketika menziarahi jenazah Allahyarham di Idang Residen Luyang hari ini.
“Saya bagi pihak keluarga dan Kerajaan Negeri mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham (Bung Moktar).
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh”, katanya kepada media selepas menziarahi jenazah Allahyarham.
Bung Moktar, 66, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lamag menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 1.46 pagi tadi ketika sedang menerima rawatan di Hospital Gleneagles.


























