KOTA KINABALU: Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) mendakwa seorang penduduk setinggan di Sepanggar atas beberapa kesalahan di bawah Enakmen Bekalan Elektrik 2024 (EBE 2024).
Pertuduhan pertama, di bawah Seksyen 8(1)(b), melibatkan perbuatan membekalkan elektrik kepada beberapa premis dalam kawasan setinggan tanpa lesen yang sah. Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta, penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Pertuduhan kedua, di bawah Seksyen 61(3)(a), berkaitan perbuatan mencuri elektrik, yang membawa hukuman denda antara RM1,000 hingga RM100,000, atau penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya.
Pertuduhan ketiga, di bawah Seksyen 61(8), melibatkan pemasangan pendawaian elektrik tanpa kebenaran pemegang lesen, Sabah Electricity (SE). Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun, atau kedua-duanya.
Tertuduh mengaku tidak bersalah. Mahkamah membenarkan ikat jamin RM15,000 dengan dua penjamin tempatan, namun tertuduh direman kerana gagal membayar jaminan. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 22 Januari 2026.
Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, ini adalah kes pertama melibatkan kecurian elektrik di kawasan setinggan yang dibawa ke mahkamah.
Beliau berkata, ECoS bersama SE akan memperhebat usaha membanteras kegiatan tersebut.
Beliau menambah bahawa kecurian elektrik di kawasan setinggan bukan sahaja menyebabkan kerugian besar kepada SE, malah turut menimbulkan risiko keselamatan serius akibat pemasangan tidak mengikut piawaian, selain kerap menyebabkan gangguan bekalan kepada pengguna berdaftar di kawasan sekitar akibat beban berlebihan.
































