George Teo
KOTA KINABALU: Kerajaan pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak pernah mengetepikan masyarakat Cina Sabah, dan perkara itu jelas apabila Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor memperuntukkan 50 peratus daripada enam slot Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik kepada kaum tersebut.
Tiga ADUN dilantik daripada masyarakat Cina Sabah ialah Datuk Ir Chin Su Ying, Datuk Roger Chin dan Grace Li.
Timbalan Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Kiulu, Datuk George Teo berkata, hanya seorang daripada sembilan calon mewakili kaum Cina menang dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Ke-17 baru-baru ini, iaitu Datuk Ben Chong, calon GRS di DUN Tanjung Kapor, Kudat.
“Datuk Ben Chong juga telah dilantik sebagai Pembantu Menteri Kewangan. Ini membuktikan Hajiji tidak pernah mengetepikan peranan masyarakat Cina di Sabah.
“Kerajaan sekarang mempunyai wakil kaum Cina yang cukup kuat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Teo turut menyeru masyarakat Cina di Sabah supaya terus menyokong dan bekerjasama dalam usaha Kerajaan Negeri melaksanakan pelan pembangunan yang dirancang di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 untuk tempoh lima tahun akan datang.
































