Foto/ sumber: Facebook Dr. Joachim Gunsalam
KUNDASANG: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Dr. Joachim Gunsalam mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.36 Kundasang dengan kemenangan besar pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah ke-17.
Menurut keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr. Joachim meraih 4,640 undi, menewaskan 10 pencabar lain, sekali gus mencatat majoriti 1,031 undi.
Pesaing terdekatnya, calon Bebas (Kunci), Jackson Musi memperoleh 3,609 undi, diikuti Jattriy Abie @ Jeffrey Mohd Ali (KDM – 2,833 undi), Japirin Sahadi (BN – 1,877 undi), Atong Antong (PN – 154 undi), Jeffrey Gopog (Warisan – 986 undi), Datuk Japiril Suhaimin (SAPP – 1,279 undi), Rogers Tiam (UPKO – 530 undi), Nazarul Khaiwala Wahab (Anak Negeri – 44 undi), Edward Jamkim (PIS – 64 undi) serta beberapa calon lain yang turut bertanding.
Sebanyak 194 undi ditolak.
Dalam kenyataan pertama selepas kemenangan, Dr. Joachim yang juga Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (GRS) menyampaikan penghargaan kepada seluruh pengundi serta pasukan jentera yang bertungkus-lumus menjayakan kempen sepanjang tempoh PRN.
“Terima kasih tidak terhingga kepada semua jentera dan pengundi. Mari kita buka lembaran baru dan bersatu padu untuk DUN Kundasang dan seluruh negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata, kemenangan berkenaan memberi mandat baharu untuk meneruskan agenda pembangunan di Kundasang serta memastikan kebajikan penduduk terus menjadi keutamaan.
































