Foto/ sumber: Jabatan Penyiaran Sabah/ RTM
TENOM: Calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Jamawi Jaafar memenangi kerusi Dewan Undangan Sabah (DUS) N.42 Melalap pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah ke-17 dengan majoriti 525 undi, menurut keputusan rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Jamawi memperoleh 5,064 undi, menewaskan tujuh calon lain termasuk Priscella Peter (Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat – 4,539 undi), Gabriel George Tulas (Bebas/Kuda – 2,879 undi), Junik Bin Bajit (UPKO – 1,702 undi), Cheld Lind (Warisan – 448 undi), Alviana Binti Linus (STARSABAH – 271 undi), Kevin Chong (PIS – 21 undi) dan Fatimah (Bebas/Kunci – 59 undi).
PRN kali ini mencatat 71.08 peratus kadar keluar mengundi, manakala sebanyak 135 undi ditolak.
Dalam kenyataan pertama selepas kemenangan, Jamawi menzahirkan penghargaan kepada seluruh pengundi Melalap yang memberikan mandat untuk beliau kembali berkhidmat bagi penggal 2025–2030.
“Terima kasih kepada semua pengundi DUS Melalap yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk mewakili Melalap 2025–2030,” katanya.
Jamawi turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor atas keyakinan mereka terhadap pencalonannya.
“Terima kasih juga kepada YAB PM dan YAB CM yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk menjadi calon PH di Melalap,” katanya.
Beliau juga menghargai sumbangan jentera pilihan raya yang bekerja tanpa henti sepanjang kempen.
“Terima kasih yang tak terhingga kepada semua jentera pilihan raya saya yang bekerja siang dan malam, bermandi keringat dan air mata. Saya amat menghargai kerja keras dan pengorbanan anda semua,” ujarnya.
Dalam masa sama, Jamawi mengucapkan tahniah kepada semua calon yang bertanding di Melalap sambil menyifatkan mereka sebagai rakan dalam proses demokrasi.
“Tahniah juga kepada semua calon yang menawarkan diri bertanding di DUS Melalap kali ini. Kita semua sahabat… lepas ini boleh duduk-duduk minum kopi ya,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa fokus utama selepas ini adalah memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk Tenom dan Melalap.
“Masa untuk bekerja untuk rakyat Tenom dan Melalap,” katanya.
































