Hajiji (tengah) bersama ketiga-tiga calon GRS di Papar melaungkan sorakan perang Rumah Kita, Kita Jaga di Pantai Manis.
PAPAR: Ketua Menteri yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor yakin gabungan itu akan diberi mandat untuk memimpin Kerajaan Negeri sekali lagi.
“InsyaAllah, kita yakin akan membentuk kerajaan selepas pilihan raya esok,” katanya ketika ditemui pada siri kempen ‘Rumah Kita, Kita Jaga’ di Pantai Manis, di sini, hari ini.
Menurutnya, berdasarkan pemerhatiannya sepanjang tempoh berkempen selama dua minggu, rakyat menerima baik manifesto serta calon-calon GRS.
Dalam pada itu, beliau berkata, Papar akan berkembang lebih pesat sekiranya ketiga-tiga wakil rakyat di kawasan Parlimen Papar adalah dari GRS.
“Saya yakin jika ketiga-tiga ADUN di sini dari GRS, mereka dapat menggembleng usaha bersama Ahli Parlimen (Datuk Armizan Mohd Ali) untuk membangunkan Papar,” katanya.
Tiga calon GRS di Papar ialah Datuk Gulamhaidar Bahadar Khan (Kawang), Datuk Juil Nuatim (Limbahau) dan Datuk Haji Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra (Pantai Manis).

Hajiji (duduk, tiga dari kanan), Shah Alfie (duduk, dua dari kanan) dan pemimpin GRS di Meruntum.
Hajiji yang juga calon GRS bagi kerusi Sulaman, mengulangi gesaannya agar rakyat memilih GRS pada pilihan raya esok (29 Nov).
“Dalam tempoh lima tahun lalu, Kerajaan Negeri yang diterajui GRS telah membuktikan rekod pencapaiannya.
“Rakyat jangan terpengaruh dengan pembohongan yang dilemparkan pembangkang dalam kempen mereka. Ada antara mereka telah terbukti gagal.
“Mereka hanya mampu bertahan dua tahun setengah sebelum ditolak rakyat. Jadi, mengapa kita perlu beri mereka peluang?” katanya.
Hajiji memberi jaminan bahawa pelbagai isu yang dibangkitkan Pengiran Saifuddin berkaitan Pantai Manis akan ditangani sekiranya GRS kembali menjadi Kerajaan Negeri.
Sementara itu, ketika menamatkan siri kempen di Meruntum, Putatan, Hajiji berkata, rakyat tidak boleh membuat kesilapan dengan memilih parti yang telah terbukti gagal sebagai Kerajaan Negeri sebelum ini.
“Sebaliknya, Kerajaan Negeri yang diterajui GRS telah terbukti berjaya melalui pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 dan kita akan meneruskan dengan Hala Tuju SMJ 2.0,” katanya.
































