Fahmi (lima dari kanan) ketika bergambar kenangan bersama semasa membuat lawatan ke PPD Kota Marudu.
KOTA MARUDU: Pelaksanaan pengesahan identiti pengguna secara digital (eKYC) bagi semua platform media sosial di negara ini dijangka dilaksanakan sebelum penghujung suku kedua 2026.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata inisiatif itu merangkumi proses pembukaan akaun baharu serta mekanisme penyaringan bagi menghalang pengguna bawah 16 tahun daripada memiliki akaun media sosial.”Saya akan memberi arahan kepada MCMC untuk melakukan satu proses libat urus dengan platform-platform media sosial dalam satu jangka masa atau tempoh yang munasabah.
“Munasabah mengambil kira apa yang telah berjaya dilaksanakan di negara-negara lain termasuk Australia dan sekiranya platform boleh memanfaatkan mekanisme yang serupa ataupun hampir serupa maka itu mungkin memudahkan ataupun mempercepat proses pelaksanaan,” katanya selepas menghadiri Program Hari Bersama Komuniti di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Simpang Tiga Langkon, pada Rabu.
Menurut beliau, MCMC juga diminta meneliti mekanisme Australia yang membekukan akaun kanak-kanak bawah 16 tahun sehingga mereka mencapai usia yang dibenarkan.
“Sekiranya seorang kanak-kanak bawah 16 tahun mempunyai akaun media sosial, akaun itu akan dibekukan. Apabila mereka mencapai umur 16 tahun, akses dipulihkan tanpa memadamkan data atau video,” ujarnya.
Selain itu, dokumen pengenalan diri seperti MyKad, pasport atau MyDigital akan digunakan dalam proses eKYC sebagai langkah pengesahan identiti sekali gus melindungi pengguna bawah umur serta membantu membanteras aktiviti penipuan dan judi dalam talian.
“Banyak scammer dan judi online menggunakan akaun palsu. Melalui eKYC, kita mahu memastikan identiti sebenar pengguna dapat dikesan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan Sabah kini mempunyai 131 pusat NADI menjadikannya negeri kedua terbanyak selepas Sarawak yang mempunyai 156 pusat NADI.






























