Ardino Diris
KOTA MARUDU: Krisis dalaman Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) di Dewan Undangan Negeri (DUN) N.6 Bandau memuncak apabila seramai 1,443 ahli parti dikatakan mengambil keputusan meninggalkan STAR susulan pemecatan Ardino Diris sebagai Ketua Bahagian.
Perkembangan itu tercetus selepas pengumuman dibuat pada satu ceramah perdana yang dihadiri Presiden STAR, Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan di Kota Marudu, semalam.
Menurut Ardino, keputusan pucuk pimpinan parti untuk menamatkan peranannya bukanlah sesuatu yang mengejutkan, malah beliau mengakui telah menjangkakan perkara tersebut lebih awal.
Beliau berkata, sejurus dimaklumkan mengenai pemecatan itu, beliau segera menghubungi semua 51 Ketua Cawangan melalui Ketua-Ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) bagi memaklumkan kedudukan sebenar. Hasilnya, lebih 1,400 ahli STAR di N.6 Bandau menyatakan komitmen untuk mengikuti langkahnya meninggalkan parti dan kekal menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Saya sudah jangka perkara ini. Sebaik sahaja saya maklumkan kepada Ketua-Ketua Cawangan, mereka sepakat menyatakan solidariti untuk terus bersama saya dan mengekalkan sokongan kepada GRS,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Ardino menyifatkan pengumuman mengenai pemecatannya dibuat pada masa yang tepat dan berpendapat ia akan memberi kelebihan kepada GRS dalam persaingan di DUN Bandau.
“Saya yakin ahli STAR di N.6 Bandau akan setia menyokong GRS kerana semua hak Sabah termasuk hak pemilikan minyak dan gas serta pengembalian 40 peratus hasil Persekutuan dari Sabah telah mula dipulangkan. Ini adalah perjuangan yang dibawa oleh Presiden STAR selama ini,” jelasnya.
Menurutnya, perkembangan itu menunjukkan ahli di peringkat akar umbi lebih melihat kepentingan masa depan Sabah berbanding isu dalaman parti.
Dengan gerak kerja tersusun bersama bekas ahli Jawatankuasa Bahagian, Ardino optimis bahawa jumlah ahli STAR yang kini beralih menyokong GRS mampu mencapai 2,000 pengundi pada hari pembuangan undi.
Beliau percaya sokongan berstruktur di setiap PDM akan memperkukuh peluang kemenangan calon GRS di DUN Bandau.
“Kami akan terus bergerak bersama jentera GRS untuk memastikan Bandau kekal bersama kerajaan negeri,” katanya.
Calon GRS yang bertanding di DUN Bandau ialah Datuk Redonah Bahanda.
































