Hajiji bersama Joniston, Dr. Bonaventure, bekas ADUN Tamparuli, Datuk Seri Jahid Jahim, pemimpin dan penyokong parti komponen GRS pada Program Jelajah Mega Tamparuli di Tapak Tamu Tamparuli hari ini.
TAMPARULI: Pelbagai slogan yang dibawa parti lain untuk menarik sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah Ke-17 disifatkan sebagai tidak menggambarkan realiti sebenar Sabah pada hari ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, ada parti yang menggunakan slogan ‘Selamatkan Sabah’, ‘Kasi Bagus Sabah’ dan ‘Bikin Balik Sabah’ tapi tidak tahu apa yang mahu diselamatkan dan apa yang mahu dibaiki atau dibuat semula.
Katanya, tawaran yang bermacam-macam dengan menggunakan pelbagai slogan itu bertentangan dengan pencapaian Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinannya yang dilakar selama lima tahun lalu.
“Pilihan raya ini amat penting sekali kerana undi kita akan menentukan kerajaan yang akan memerintah lima tahun lagi untuk Sabah.
“Saya ingin menyatakan bahawa banyak parti lain yang menawarkan bermacam-macam, ada dulu sudah diberi kesempatan oleh rakyat untuk menjadi kerajaan dan sekarang sekali lagi bertanding dengan membawa slogan bermacam macam.
“Ada yang datang dari seberang bawa slogan ‘Kasi Bagus Sabah’, saya pun tidak tahu apa dia mahu kasi bagus Sabah. Ada parti lain pernah gagal dua tahun setengah memerintah Sabah, slogan dia ‘Selamatkan Sabah’, apa yang mahu diselamatkan?
“GRS telah membuktikan selama lima tahun pelbagai usaha dan kejayaan kita telah bawa kepada Sabah dan membela rakyat miskin di bawah yang tidak pernah dilaksanakan sebelum ini.
“Sekarang baru mereka buka mata mahu ‘Selamatkan Sabah’ dan ‘Kasi Bagus Sabah’ dan apa lagi, ‘Bikin Balik Sabah’. Slogan ini tidak boleh pakai di Sabah, Sabah mahu maju ke depan,” katanya berucap pada Program Jelajah Mega Tamparuli di tapak tamu Pekan Tamparuli, dekat sini, hari ini.

Kempen itu turut dihadiri calon GRS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Tamparuli, Dr. Bonaventure Boniface dan calon GRS DUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, jika mahu maju, rakyat negeri ini perlu memilih GRS termasuk di kawasan DUN Tamparuli dan Kiulu.
“Kita mahu bangunkan Sabah, kita mempunyai pelbagai inisiatif yang terbukti lima tahun ini kita dapat jayakan. Hanya yang buta mata atau sengaja tidak mahu tahu apa yang dilakukan GRS selama lima tahun lalu menafikan pencapaian GRS.
“Di samping membangunkan ekonomi, kita juga tidak lupa rakyat di bawah, kita bela rakyat kita yang susah dan masih memerlukan bantuan kerajaan, banyak inisiatif yang kita bagi kepada mereka.
“Saya nyatakan salah satu program tahun ini yang dipanggil SYUKUR, iaitu bantuan RM300 sebulan kepada rakyat miskin dalam senarai eKasih, kira-kira 100,000 orang dapat dan kita akan teruskan lagi kalau kita menjadi kerajaan semula.
“Selain itu, kita akan bagi juga termasuk bantuan kepada mereka yang berumur lebih 60 tahun. Maknanya kita buat kerja, kita ada dana dan ada lagi satu saya cadangkan iaitu kita akan bantu rakyat yang membeli rumah pertama berharga bawah RM500,000,” katanya.
Hajiji berkata, GRS sudah berjaya membawa Sabah ke landasan yang betul menerusi pelbagai perancangan yang disusun sebelum ini bagi memastikan negeri ini terus maju dan membangun.
Sehubungan itu, beliau meminta rakyat Sabah supaya tidak tersalah pilih pada hari mengundi nanti, sebaliknya hanya memilih calon GRS di semua kawasan di mana gabungan itu bertanding.
Dalam ucapannya, Hajiji turut menyatakan kesediaan kerajaan untuk menimbang cadangan disuarakan Bonaventure mengenai usaha menaik taraf daerah kecil Tamparuli sebagai daerah penuh, setelah GRS diberi mandat dalam PRU DU Sabah 2025.
Katanya, sebelum ini dua daerah kecil sudah dinaik taraf kepada daerah penuh iaitu Paitan dan Sook.
Sementara itu, ketika ditemui media, Ketua Menteri mengingatkan pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian awal Selasa ini supaya memilih calon yang boleh membawa kemajuan di kawasan masing-masing dan Sabah keseluruhannya.
“Undilah, itu sudah menjadi hak demokrasi mereka, undi itu di tangan mereka. Kita bagi mereka kebebasan, tapi kalau tanya saya undilah calon yang boleh bawa kemajuan, bukan saja di kawasan tapi untuk Sabah pada masa akan datang,” katanya.
Mengenai kedudukan GRS setelah seminggu kempen PRU Sabah Ke-17, beliau menyatakan keyakinan terhadap sokongan rakyat Sabah untuk memilih GRS-Pakatan Harapan (PH) pada 29 November ini.
Katanya, keyakinan itu berdasarkan situasi di semua kawasan dihadirinya sepanjang seminggu kempen selepas hari penamaan calon pada 15 November lalu.
“Kalau melihat di tempat yang saya berkempen, alhamdulillah calon GRS PH ini diterima baik oleh pengundi, mereka memilih untuk kemajuan di masa akan datang.
“Mereka cakap sudah beri peluang kepada yang lain, jadi mereka mahu kerajaan GRS ini diteruskan lagi untuk lima tahun yang akan datang,” katanya.




























