Hajiji melayan permintaan wefie daripada ahli jentera pilihan rayanya.
TUARAN: Ketua Menteri dan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak adalah selaras dengan kehendak Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Ianya termaktub dalam MA63 bahawa Sabah dan Sarawak sekurang-kurangnya harus mempunyai satu pertiga daripada jumlah kerusi di Parlimen,” katanya ketika ditemui selepas pertemuan dengan jentera pilihan raya GRS Sulaman di Dewan Rumpun Bajau Samah, Kampung Lok Batik, hari ini.
Beliau menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Kerajaan Persekutuan pada dasarnya bersetuju untuk menambah kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak.
“Ya, ini sememangnya yang ditunggu-tunggu oleh Sabah dan Sarawak – peluang untuk mendapatkan bilangan kerusi Parlimen tambahan. Sabah dan Sarawak merupakan dua negeri besar dan wajar diberi pertimbangan khas bagi penambahan kerusi ini,” katanya.
Hajiji menambah bahawa pertambahan kerusi juga diperlukan kerana beberapa kawasan Parlimen di Sabah mengalami peningkatan populasi yang signifikan. Beliau mencontohi Kinabatangan, yang sebesar Pahang tetapi hanya mempunyai satu kerusi Parlimen, serta Tuaran, yang lebih besar daripada Perlis namun juga hanya mempunyai satu kerusi Parlimen.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri,” katanya.
































