KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menggesa Putrajaya supaya jelas dan konsisten agar pelaksanaan pemberian khas 40 peratus yang merupakan hak perlembagaan Sabah, terus berjalan lancar dan tidak terjejas oleh perkembangan terkini.
Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai berkata, pengumuman bahawa Kerajaan Persekutuan tidak akan merayu keputusan mahkamah berkenaan hak 40 peratus Sabah adalah satu perkembangan penting, tetapi fakta bahawa sebahagian keputusan masih dicabar sememangnya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat Sabah.
“Yang rakyat Sabah mahukan sekarang ialah keyakinan bahawa langkah ini tidak akan mengganggu atau menyukarkan pemenuhan hak Sabah dalam apa jua cara.

Joniston Bangkuai
“Selama beberapa dekad, Sabah menunggu agar hak ini dihormati. Jadi, sebarang langkah yang kelihatan membuka semula isu ini, walaupun sebahagiannya, berisiko menghantar mesej yang salah dan meningkatkan kekecewaan rakyat.
“Ini juga akan menjadi ujian terhadap hubungan kerja baik antara Kerajaan Pusat dan Sabah dalam memenuhi jangkaan rakyat bagi pelaksanaan segera pemberian khas 40 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Joniston menambah bahawa hak 40 peratus ini merupakan komponen utama dalam memperkukuh hala tuju pembangunan Sabah dan memastikan jurang lama, terutamanya di kawasan luar bandar, akhirnya dapat diatasi.


































