Hajiji bersama calon-calon, pemimpin dan penyokong GRS.
KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan bertanding di 55 kerusi pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan kali ini, dengan menekankan pembaharuan melalui 35 peratus calon muka baru sebagai sudut baharu gabungan itu.
Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor berkata, calon-calon GRS adalah gabungan mereka yang berpengalaman serta didampingi orang-orang muda.
“Sebanyak 35 peratus adalah muka baru, sebagai pendekatan segar untuk membawa idea baharu dan tenaga baru kepada rakyat Sabah. Saya yakin mereka mampu bersaing dan menang dalam pilihan raya ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengumuman Calon GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Hajiji yang turut mempertahankan kerusi N12 Sulaman berkata, hanya empat kawasan lagi akan diumumkan esok dan fokus GRS kini adalah bertanding di semua 55 kerusi tanpa mengira parti komponen.
“Kita kira GRS sebagai satu entiti. Saya harap pengumuman calon hari ini menyemarakkan semangat penyokong GRS dan parti komponen untuk bekerja keras memastikan kemenangan calon-calon kita,” tegas beliau.
Beliau menyeru semua penyokong supaya menyatukan tenaga, memastikan kemenangan GRS dan memberi penekanan bahawa sokongan kepada gabungan ini adalah sokongan kepada pembangunan dan kemajuan negeri.
Dalam ucapannya, Hajiji menegaskan bahawa Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran GRS telah berusaha sedaya upaya untuk membawa perubahan dan kemajuan kepada rakyat Sabah.
“Saya bersama seluruh rakyat dan kerajaan telah berusaha sedaya upaya untuk membawa perubahan serta kemajuan. Walaupun tidak semua kejayaan dapat ditonjolkan, setiap langkah diambil mengikut undang-undang dan penuh tanggungjawab,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang lima tahun pentadbiran GRS, ekonomi negeri pulih, pelaburan meningkat dan peluang pekerjaan baharu diwujudkan.
“Taman-taman perindustrian seperti KKIP dan SOGIP kini tidak lagi mampu menampung permintaan tinggi.
“Oleh itu, Kerajaan bercadang membangunkan tiga taman perindustrian baharu di Beaufort-Kimanis, Kota Belud-Kota Marudu, dan Kudat; Kudat akan menjadi pusat industri Ekonomi Biru untuk merangsang pertumbuhan di utara Sabah,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan beberapa perjanjian penting dengan PETRONAS, SMJ Energy dan syarikat tempatan dalam pembangunan industri minyak dan gas yang memberi manfaat besar kepada negeri.
Dalam pendidikan, kerajaan memperuntukkan RM1.02 bilion sepanjang lima tahun bagi biasiswa dan tabung pendidikan, memberi manfaat kepada lebih 480,000 anak Sabah.
Hajiji menekankan kebajikan golongan miskin dan miskin tegar melalui program Rumah Mesra SMJ, dengan 7,482 unit diluluskan dan 5,322 unit siap didiami, selain bantuan tunai RM300 sebulan kepada 100,000 penerima.
Dari aspek infrastruktur, kerajaan menambah Loji Rawatan Air daripada 85 kepada 91 buah, termasuk projek menaiktaraf LRA Telibong II, Beluran, Kanibongan dan Kasigui UWSS, bernilai RM1.2 bilion. Empangan Air Cinta Mata di Tawau bernilai RM300 juta dijangka siap 2026.
Dalam sektor tenaga, Sabah Electricity memperkenalkan Battery Energy Storage System (BESS) untuk kawasan Pantai Timur. Majlis Tenaga Negeri Sabah meluluskan 11 projek jana kuasa berkapasiti 1,219 megawat, manakala Projek Empangan Hidroelektrik Ulu Padas dengan kos RM3.048 bilion dijangka menjana 187.5 megawat menjelang 2029.
Kerajaan Negeri juga memperhebatkan pembangunan jalan raya melalui Projek Pan Borneo Sabah dan penyelenggaraan jalan kampung, dengan peruntukan RM4.89 bilion.
Hajiji menegaskan usaha pemuliharaan alam sekitar diteruskan, dengan sasaran 30 peratus kawasan negeri menjadi Totally Protected Areas (TPA) dan 1.015 juta hektar sebagai Marine Protected Areas (MPA), selain memulihara lebih 1,000 hektar kawasan hijau.
“Segala usaha ini adalah untuk memastikan Sabah terus maju, progresif, berdaya tahan dan sejahtera,” kata Hajiji.
Beliau menegaskan calon-calon GRS adalah dari kalangan mereka yang bersedia berjuang dan berkhidmat kepada rakyat.
“Dengan pengumuman ini, kita rapatkan saf kepimpinan, perkukuh semangat perjuangan dan pastikan kemenangan. Kita pilih GRS, kita undi GRS, kita menangkan GRS…insya-Allah kita kembali menerajui Kerajaan Negeri Sabah,” tegas beliau.
SENARAI CALON GRS (55 KERUSI DUN)
N01 Banggi – Datuk Mohamad Mohamarin
N02 Bengkoka – Dr. Samuil Mopun
N03 Pitas – Datuk Seri Ruddy Awah
N04 Tanjong Kapor – Datuk Ben Chong Chen Bin
N05 Matunggong – Datuk Julita Majungki
N06 Bandau – Datuk Redonah Bahanda
N07 Tandek – Datuk Hendrus Anding
N08 Pintasan – Tan Sri Pandikar Amin Mulia
N09 Tempasuk – Datuk Mohd. Arsad Bistari
N10 Usukan – Datuk Japlin Akim
N11 Kadamaian – Mudezam Muyau
N12 Sulaman – Datuk Seri Hajiji Noor
N13 Pantai Dalit – Datuk Jasnih Daya
N14 Tamparuli – belum diumumkan
N15 Kiulu – Datuk Joniston Bangkuai
N16 Karambunai – Datuk Arshad Idris
N17 Darau – Datuk Mohd. Razali Razi
N24 Tanjung Keramat – Shah Alfie Yahya
N26 Moyog – Joeynwood Bansin
N27 Limbahau – Datuk Juil Nuatim
N28 Kawang – Datuk Gulam Haidar Khan Bahadar
N29 Pantai Manis – Datuk Pg. Saifuddin Pg. Tahir Petra
N30 Bongawan – Tan Sri Anifah Aman
N31 Membakut – Datuk Dr. Mohd. Ariffin Mohd. Arif
N32 Klias – Datuk Isnin Aliasnih
N33 Kuala Penyu – Datuk Limus Jury
N34 Lumadan – Datuk Ruslan Muharam
N36 Kundasang – Datuk Dr. Joachim Gunsalam
N37 Karanaan – Datuk Seri Masidi Manjun
N38 Paginatan – Datuk Abidin Madingkir
N39 Tambunan – Datuk Victor Paut
N40 Bingkor – belum diumumkan
N41 Liawan – Datuk Annuar Ayub Aman
N43 Kemabong – Datuk Rubin Balang
N44 Tulid – belum diumumkan
N45 Sook – Datuk Ellron Angin
N46 Nabawan – Datuk Abdul Ghani Yasin
N47 Telupid – Datuk Jonybone J. Kurum
N48 Sugut – Datuk James Ratib
N49 Labuk – Datuk Samad Jamri
N51 Sungai Manila – Hazem Mubarak Musa
N52 Sungai Sibuga – Datuk Amirshah Yaakub
N53 Sekong – Puan Sri Diana Diego @ Yusrina Sufiana
N57 Kuamut – Datuk Masiung Banah
N58 Lamag – Johainizamshah Johari
N59 Sukau – Datuk Juhari Janan
N60 Tungku – Datuk Abdul Hakim Gulam Hassan
N62 Silam – Datuk Mizma Apehdullah
N63 Kunak – Datuk Norazlinah Arif
N65 Senallang – Datuk Marunda KK. Ampong
N66 Bugaya – Noordin Abdul Hussin
N67 Balung – Syed Ahmad Syed Abas
N68 Apas – Datuk Nizam Abu Bakar Titingan
N70 Kukusan – belum diumumkan
N71 Tanjung Batu – Dr. Andi Md. Shamsureezal




























