Armizan (duduk, lima dari kiri) bersama 24 pembeli lot kedai Century Plaza Papar yang menuntut geran hak milik individu sejak 2004.
PAPAR: Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd. Ali meluahkan rasa kecewa terhadap sikap tidak bertanggungjawab pemaju PMSB Ventures Sdn. Bhd. yang gagal menghadiri perjumpaan pada 27 Oktober lalu bagi membincangkan isu hak milikan individu pembeli lot kedai Century Plaza Papar.
Menurut beliau, seramai 24 pembeli telah membeli lot kedai berkenaan sejak tahun 2004, namun masih belum menerima geran hak milik individu walaupun projek itu telah memperoleh Sijil Kelayakan Menduduki (OC) sejak 2006.
“Sebahagian besar pembeli telah melunaskan pinjaman mereka, malah ada yang meninggal dunia tanpa sempat mendapat hak milik. Pemaju tidak boleh terus berdiam diri dan meninggalkan pembeli dalam ketidakpastian,” tegasnya.
Armizan berkata, kumpulan pembeli kini telah melantik Tetuan Zainal & Associates bagi mewakili mereka dalam tindakan undang-undang terhadap pemaju tersebut.
Beliau turut menggesa Majlis Daerah Papar, selaku pemilik tanah bersama pemaju, agar segera memainkan peranan menyelesaikan isu yang telah berlarutan hampir dua dekad itu.
Dalam masa yang sama, beliau menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri melalui agenda Reformasi Undang-Undang dan Institusi (Law and Institutional Reform) akan memperkenalkan dua undang-undang baharu — pindaan Enakmen Hak Milik Subsidiari 1972 dan Enakmen Pengurusan Bangunan 2025 — bagi memperkukuh perlindungan pembeli hartanah di Sabah.
“Apa yang berlaku di Century Plaza tidak boleh berulang lagi. Kita mahu undang-undang yang lebih adil dan responsif terhadap hak pengguna,” katanya.































