Nizam Abu Bakar Titingan
KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, “gelombang baharu” penyertaan beberapa bekas ahli Gabungan Rakyat Sabah (GRS) ke dalam Parti Warisan hanyalah sekadar gelombang kekecewaan.
Menurutnya, tindakan bekas Timbalan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Pitas, Datuk Harun Ismail; Ketua Penerangan Gagasan Rakyat Pantai Manis, Amri Abu Bakar; dan Ketua Bahagian Liberal Demokratik Party (LDP) Tanjung Kapor, Datuk Peter Chin Kee Yong menyertai Warisan tidak mencerminkan kebangkitan rakyat, sebaliknya kekecewaan individu yang kecewa tidak mendapat apa yang dihajati.
“Gelombang itu hanyalah gelombang kecil sekumpulan individu yang ingin menjarah jawatan dan harta bersama GRS. Ada antara mereka sebelum ini secara peribadi meminta menjadi calon dan mengugut akan keluar parti jika tidak diberikan peluang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan rakyat Sabah sudah mengenali watak sebenar individu terbabit yang menyertai Warisan bukan atas dasar perjuangan, tetapi kerana kehausan terhadap jawatan.
“Semasa bersama GRS, mereka senyap dan hanya menumpang hasil kerja orang lain. Apabila tidak lagi diberi kedudukan, barulah mereka menukar haluan dan melaungkan kononnya perjuangan asal untuk rakyat Sabah,” katanya.
Nizam berkata, tindakan seperti itu menggambarkan politik lama yang rakyat semakin muak — politik tamak, berasaskan dendam peribadi dan kepentingan diri.
Katanya, GRS di bawah kepimpinan Datuk Seri Haji Hajiji Haji Noor tidak akan tunduk kepada politik ugutan mahupun perebutan habuan.
“Kita tidak perlukan mereka yang hanya setia ketika ada jawatan dan berpaling tadah apabila kemahuan peribadi mereka tidak dituruti,” katanya lagi.
Nizam menambah, jika itulah yang dimaksudkan oleh Warisan sebagai ‘gelombang baharu’, maka ia sebenarnya hanyalah “gelombang kecewa, gelombang tertolak dan gelombang manusia yang sudah hilang arah.”
































