Zainal membentangkan taklimat bertajuk Strategi Menangani Salah Laku di Institusi Pendidikan dan Asrama Bawah Kementerian Pendidikan.
KOTA KINABALU: Dasar penubuhan Tribunal Anti-Buli akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri esok (Jumaat) bagi mendapatkan kelulusan sebelum Rang Undang-undang (RUU) dimuktamadkan.Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tribunal itu akan bertindak sebagai platform sivil bagi menyelesaikan kes buli.
“Tribunal ini tidak akan mengganggu sistem yang telah wujud di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), asrama di bawah MARA dan Kementerian Pertahanan.
“Setiap institusi mempunyai instrumen sendiri bagaimana mereka mengurus kes buli dan disiplin dan tribunal ini tidak akan mengganggu sistem sedia ada.
“Jika terdapat aduan atau ketidakpuasan terhadap keputusan dibuat, tribunal ini akan menjadi peringkat kedua.
“Sebagai contoh, KPM mungkin mempunyai keputusan sendiri dan tribunal akan berperanan jika terdapat kepercayaan tiada tindakan daripada institusi pendidikan itu,” katanya kepada media selepas Sesi Town Hall Antibuli : #GENERASITANPABULI Peringkat Negeri Sabah di sini, pada Khamis.
Beliau berkata, RUU berkenaan turut memperincikan definisi buli yang melibatkan pelbagai bentuk kelakuan serta peranan tribunal dalam mengurus kes sivil.
“Tribunal ini tidak akan melibatkan hukuman penjara kerana semua kes jenayah masih tertakluk kepada mahkamah jenayah dan pihak polis.
“Kita mahu kes dapat diselesaikan dalam tempoh 60 hingga 90 hari berbanding tujuh hingga sembilan tahun jika melalui mahkamah,” jelasnya.
Beliau berkata tribunal itu memberi tumpuan kepada mangsa dan pelaku bagi memastikan penyelesaian lebih cepat tanpa perlu melalui proses mahkamah yang panjang.
Katanya, hasil sesi libat urus dengan pelbagai pihak menunjukkan maklum balas positif terhadap cadangan penubuhan tribunal berkenaan dan membantu untuk menilai maklum balas terhadap dasar berkenaan.
Sesi berkenaan disertai oleh lebih kurang 300 peserta yang terdiri daripada warga pendidikan, pegawai badan beruniform dan kakitangan kerajaan negeri.
Hadir sama, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU), Datuk Zamri Misman, Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab, Rimbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Operasi Sekolah), Kementerian Pendidikan Malaysia, Zainal Abas dan Timbalan Ketua Pengarah (Reformasi Undang-undang) BHEUU, Thiyagu Ganesan.