Joniston dan Azlin bergambar dengan salah sebuah kereta pameran.
KOTA KINABALU: Pameran tahunan Cars and Urban Lifestyle Trend (CULT) yang diasaskan di Sabah kini semakin mendapat sambutan, dengan penyertaan peserta dari Brunei Darussalam, Semenanjung Malaysia dan Sarawak.
Kejayaan itu menyerlahkan kepentingan semakin meningkat pelancongan bandar dalam membentuk landskap pelancongan dinamik Sabah, kata Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai.
Beliau berkata, acara pelancongan bandar membawa dimensi baharu kepada daya tarikan Sabah dengan memperkenalkan pengalaman kreatif dan berasaskan gaya hidup yang melengkapi tarikan alam semula jadi negeri ini.
“Acara seperti CULT menampilkan sisi berbeza Sabah yang meraikan inovasi, reka bentuk dan semangat komuniti melalui platform pengalaman moden dan kontemporari.
Ia turut memberi kesan limpahan positif dengan menguntungkan perniagaan tempatan, hotel, bengkel, dan gerai makanan, selain menginspirasikan golongan belia serta usahawan untuk turut serta dalam rantaian nilai pelancongan,” katanya semasa merasmikan CULT 2025 di Merdeka Grand Mall, di sini, kelmarin.
Joniston berkata, penyertaan lebih 400 kereta dan kehadiran pengunjung dari Brunei menunjukkan bagaimana acara berasaskan gaya hidup mampu menarik segmen pasaran baharu sambil memperkukuh kedudukan Sabah sebagai destinasi yang berpandangan jauh ke hadapan.
Acara itu turut menyerlahkan kerjasama antara penggiat industri, rakan kreatif dan penaja seperti YONO eWallet, yang membuktikan peranan inovasi tempatan dalam menyokong pertumbuhan pelancongan.
Joniston berharap kejayaan penganjuran acara CULT yang diasaskan di Sabah ini akan terus mendapat perhatian meluas serta menarik lebih banyak penyertaan antarabangsa.
Turut hadir, Pengarah Acara CULT Azlin Awang Chee dan Pengarah Promosi CULT John Kong.