Dr. Joachim (tujuh dari kanan) bersama Linda (enam dari kiri) bergambar kenangan dengan sebahagian daripada jentera pentadbiran DUN Kundasang serta yang terlibat sama dalam program itu.
RANAU: Pelaksanaan pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang dijalankan secara menyeluruh dan inklusif tanpa mengira sempadan kampung, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam memastikan kesejahteraan rakyat di peringkat akar umbi.
Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, pelbagai projek pembangunan termasuk pembinaan dewan mini, jambatan gantung dan jalan raya dilaksanakan bagi memastikan setiap kawasan mendapat manfaat secara adil.
“Pembangunan dijalankan secara sama rata di semua kampung. Saya gembira melihat banyak rumah kini jauh lebih baik berbanding dahulu. Tugas kerajaan ialah membantu sedaya upaya dan memberikan perkhidmatan terbaik demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Mirumo-rumo bersama masyarakat di beberapa Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam kawasan DUN Kundasang, di sini.

Dr. Joachim bersalaman dan menyantuni penduduk kampung yang hadir dalam Majlis Mirumo-rumo bersama masyarakat kampung di PDM dalam DUN Kundasang.
Program itu merupakan sebahagian daripada siri lawatan empat hari bermula 15 Oktober lalu yang meliputi kampung iaitu Kampung Dumpiring, Kampung Kaingaran, Kampung Wayan, Kampung Tumbalang, Kampung Kieyep, Kampung Nalumad, Kampung Togop Darat, Kampung Sinurai dan Kampung Karagasan. Turut diadakan ialah majlis perasmian dewan mini baharu.
Dr. Joachim berkata, sepanjang lawatan tersebut beliau berpeluang menyantuni penduduk setempat dan mengadakan sesi soal jawab.
“Jika menerima mandat daripada rakyat, GRS akan meneruskan pembangunan di DUN ini dan seluruh Sabah”, tegasnya.

Dr. Joachim menyempurnakan perasmian dewan mini Kampung Nalumad.
Beliau turut menegaskan bahawa di sebalik tumpuan kepada pembangunan fizikal, Kerajaan Negeri di bawah pimpinan GRS dengan kerjasama Pakatan Harapan (PH) kekal berpegang kepada prinsip memperkukuh autonomi politik Sabah dan memperjuangkan hak rakyat negeri ini.
“Jangan keliru, kita mahu orang kita sendiri menjaga Sabah. Slogan ‘Rumah Kita, Kita Jaga’ bukan sekadar retorik politik, tetapi prinsip perjuangan supaya rakyat Sabah terus diberi kepercayaan mentadbir negeri mengikut acuan sendiri,” tegasnya.
Menurutnya, kerjasama antara GRS dan PH tidak menjejaskan kedudukan Sabah sebagai pengemudi utama pentadbiran negeri, sebaliknya memperkukuh hubungan pembangunan dengan Kerajaan Persekutuan.
“Kita pengemudi untuk Sabah, manakala Kerajaan Persekutuan pelengkap dan membantu kita,” jelasnya.
Dr. Joachim turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan program berkenaan dan berikrar untuk terus memperjuangkan kepentingan rakyat sekiranya diberi mandat semula selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.
Beliau berkata, Kerajaan GRS juga sentiasa menitikberatkan kebajikan dan pembangunan modal insan, termasuk melalui peningkatan biasiswa pelajar serta inisiatif Rumah Mesra SMJ, yang akan dinaikkan kuotanya kepada 50 unit bagi setiap DUN sekiranya diberi kepercayaan semula.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah isteri kepada Dr. Joachim, Datin Seri Linda Ewit, pegawai-pegawai DUN Kundasang serta pemimpin setempat.
































