Pemain pasukan Hoki Keningau membuat lompatan kegembiraan sejurus membenam pasukan Tawau di Stadium Hoki, Kompleks Sukan Tawau, pada pagi Jumaat.
TAWAU: Pasukan Keningau menumpaskan tuan rumah Tawau 6–1 pada perlawanan akhir hoki lelaki Sukan Sabah (SAGA) XI di Stadium Hoki, Kompleks Sukan Tawau, pada Jumaat.
Kemenangan bergaya pasukan Keningau itu disumbangkan melalui empat jaringan penyerang, Mohd Salahuddin Abdullah pada minit ke-dua, 13, 31 dan 55, manakala Shelston Silveeius dan Mohamad Haikal Ronnie masing-masing menambah satu gol pada minit ke-40 dan 41.
Pasukan Tawau hanya mampu merapatkan kedudukan menerusi jaringan Mohamad Irzany Daniel Rudi pada minit ke-53.
Dengan kemenangan tersebut, Keningau merangkul pingat emas, diikuti Tawau (perak) dan Kota Belud (gangsa).
Anugerah khas individu turut disampaikan kepada pemenang yang menunjukkan prestasi cemerlang iaitu pasukan Sipitang dan Sandakan masing-masing menerima anugerah Fair Play bagi kategori wanita dan lelaki.
Tiga pemain Keningau, Mohd Hazim dinobatkan sebagai Pemain Harapan, manakala rakan sepasukannya menerima anugerah Penjaga Gol Terbaik serta penyerang Keningau Mohd Salahuddin Abdullah turut diumumkan sebagai Penjaring Terbanyak dengan sembilan gol keseluruhan.
Bagi kategori wanita, Kudat muncul juara dengan meraih pingat emas diikuti Tawau (perak) dan Keningau (gangsa). Pemain Syafiah dari Tawau dinobatkan sebagai Penjaring Terbanyak dengan lapan gol, manakala dua pemain Kudat, Anna dan Nor Umi, masing-masing menerima anugerah Pemain Harapan dan Pemain Terbaik.
































